Images
  • msia house
    (Gambar hiasan: Manan Vatsyayana/AFP)

M'sia kecualikan bayaran cukai setem bagi pembelian rumah pertama mulai 1 Jan

KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar cukai setem sebanyak satu peratus bagi surat cara pindah milik harta semasa bernilai lebih RM1 juta (S$330,000) sehingga RM2.5 juta (S$820,000) akan berkuat kuasa mulai 1 Jul 2019.

Dalam kenyataannya, Kementerian Kewangan Malaysia menyatakan kerajaan mengekalkan kadar cukai setem semasa bagi harta dalam nilai berkenaan bagi tempoh enam bulan antara 1 Jan 2019 sehingga 30 Jun 2019 dengan tujuan menggalak kelangsungan urus niaga dalam sektor hartanah.

Sebelum ini, dalam Belanjawan 2019, kerajaan Malaysia mengumumkan kadar cukai setem bagi harta dalam nilai berkenaan dinaikkan dari tiga peratus kepada empat peratus mulai 1 Jan 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan Pakatan Harapan amat prihatin dan berlaku adil dalam memperuntukkan tempoh masa yang mencukupi supaya proses pindah milik dapat dilakukan dalam tempoh peralihan sebelum kadar baru cukai setem dikuatkuasakan.

“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan Pakatan Harapan bersetuju memberikan insentif pengecualian cukai setem 100 peratus bagi pembelian rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata bagi rumah pertama berharga sehingga RM300,000 (S$97,700), cukai setem dikecualikan bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman, dengan perjanjian jual beli perlu diselesaikan dalam tempoh 1 Jan 2019 sehingga 31 Dis 2020.

“Bagi rumah berharga lebih RM300,000 (S$97,700) hingga RM500,000 (S$164,500), cukai setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dikecualikan terhad kepada RM300,000 (S$97,700) pertama daripada harga rumah tersebut, dengan perjanjian jual beli perlu disempurnakan mulai 1 Julai 2019 hingga 31 Dis 2020.

“Manakala, cukai setem ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga antara RM300,001 dengan RM1 juta (S$330,000) yang dibeli daripada mana-mana pemaju perumahan dikecualikan bagi perjanjian jual beli yang diselesaikan mulai 1 Jan 2019 sehingga 30 Jun 2019,” katanya.

Encik Lim berkata pengecualian cukai setem tersebut bertujuan untuk terus menggalak pembelian rumah pertama oleh rakyat Malaysia, meningkatkan pembelian unit rumah yang tidak terjual daripada pemaju, serta merancakkan pasaran hartanah.

“Langkah ini merupakan antara satu usaha bagi mengatasi isu lebihan bekalan hartanah kediaman yang semakin meningkat,” katanya.

- BERNAMA/AQ/aq

Top