Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Love, Bonito peroleh dana AS$50 juta, rancang buka lebih banyak kedai di S'pura, perluas ke pasaran dunia

Jenama fesyen tempatan Love, Bonito menyatakan pada Rabu (27 Okt) ia berjaya mendapatkan dana  AS$50 juta (S$67 juta) sedang syarikat itu merancang untuk membuka lebih banyak kedai di Singapura dan meluaskan perniagaan ke pasaran lain termasuk Amerika Syarikat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Love, Bonito peroleh dana AS$50 juta, rancang buka lebih banyak kedai di S'pura, perluas ke pasaran dunia

Cawangan Love, Bonito di Funan. (Gambar: Darius Boey)

Diterbitkan : 28 Oct 2021 10:34AM Dikemas Kini : 28 Oct 2021 10:35AM

SINGAPURA: Jenama fesyen tempatan Love, Bonito menyatakan pada Rabu (27 Okt) ia berjaya mendapatkan dana AS$50 juta (S$67 juta) sedang syarikat itu merancang untuk membuka lebih banyak kedai di Singapura dan meluaskan perniagaan ke pasaran lain termasuk Amerika Syarikat.

Pusingan terbaru pembiayaan dana itu diperolehi daripada Primavera Capital Group, firma ekuiti swasta kedua terbesar China yang sebelum ini melabur dalam Alibaba dan ByteDance. Love, Bonito adalah pelaburan pertama firma itu di Asia Tenggara.

Gergasi runcit Jepun, Adastria, dan syarikat modal pelaburan, Ondine Capital, juga mengambil bahagian dalam pusingan pembiayaan dana tersebut.

Love, Bonito - dimulakan pada 2006 sebagai sebuah kedai blog yang menjual pakaian diimport. Ia kini adalah antara label fesyen wanita terbesar Singapura. Sejak penjenamaan semulanya pada 2010 ke wadah e-dagang rasmi, ia menghasilkan desain dan pakaiannya sendiri, disasarkan kepada wanita Asia.

Jenama itu membuat langkah mengejutkan dengan membuka kedai runcitnya yang pertama di Somerset pada 2017 dan sudah bertambah kepada 16 kedai di seluruh Singapura, Malaysia, Indonesia dan Kemboja. Ia juga membuat penghantaran ke 20 negara di seluruh dunia.

Sejak tiga tahun lalu, pembiayaan Siri B firma itu mengumpulkan AS$13 juta (S$17 juta). Ketua Eksekutif Love, Bonito Dione Song berkata dana terbaru sekarang akan digunakan untuk "menggandakan" pasaran sedia ada serta mempercepat program peluasannya ke Hong Kong, Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat.

Di pasaran Singapura, ia terus menyaksikan "tarikan yang kuat".

Menjangkaui Asia Tenggara, jenama itu juga berharap untuk meluaskan perniagaan ke Asia Timur seperti Hong Kong, Taiwan dan Jepun di mana ia sudah menyaksikan "tarikan yang baik" serta juga ke negara-negara seperti Amerika Syarikat.

Langkah-langkah permulaan termasuk memperdalam kerjasama, menubuhkan pasukan tempatan dan mengadakan kedai sementara.

Dalam satu kenyataan media berasingan, syarikat itu menyatakan ia sudah mencapai pertumbuhan keseluruhan lebih 120 peratus dari tahun ke tahun dalam pasaran antarabangsa dan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 208 peratus bagi jualan online setakat ini.

Sekitar separuh daripada pendapatan e-dagang dan urus niaga syarikat itu datang dari pasaran luar Singapura.

Sementara itu, Love, Bonito merancang untuk meningkatkan tawaran produknya bagi merangkumi juga pakaian sukan dan aksesori. Ini selain meneroka kategori baru seperti kesejahteraan diri, disokong oleh permintaan yang tercetus akibat pandemik. Lebih banyak butiran mengenai perkara ini akan diumumkan pada tahun depan, kata Cik Song kepada wartawan.

Bukan itu sahaja, syarikat tersebut juga melabur dalam sains data untuk mewujudkan pengalaman lebih peribadi untuk pelanggan. Misalnya, terdapat "potensi bagi (jenama itu) untuk berkembang kepada satu program langganan, terutamanya bagi memenuhi keperluan wanita yang sibuk bekerja dan mereka yang benar-benar menghargai kemudahan", terang CEOnya.

Meskipun pandemik menjejas industri runcit setempat, Love, Bonito menyatakan pendapatannya bagi separuh pertama tahun ini meningkat 62 peratus berbanding setahun lalu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan