Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Liv@Changi akan dijual pada harga S$38 juta

Sebuah pusat beli-belah di Changi yang dikosongkan sejak ia memperolehi Permit Pendudukan Sementara (TOP) pada Disember 2019 akan dijual.

Anggaran Waktu Membaca:
Liv@Changi akan dijual pada harga S$38 juta

(Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 08 Apr 2021 08:38AM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 08:42AM

SINGAPURA: Sebuah pusat beli-belah di Changi yang dikosongkan sejak ia memperolehi Permit Pendudukan Sementara (TOP) pada Disember 2019 akan dijual.

Pusat beli-belah Liv@Changi, yang terletak di persimpangan Upper Changi Road North dipasarkan sebagai "bangunan komersil pegangan kekal tiga tingkat yang baru" oleh syarikat khidmat hartanah CBRE.

Kali pertama Mediacorp melaporkan mengenai pusat beli-belah yang dikosongkan itu adalah pada September tahun lalu apabila pemajunya Fortune Assets Changi menyatakan bahawa pihaknya mengalami kesulitan untuk memikat penyewa disebabkan oleh sekatan perancangan dan pandemik COVID-19.

Langkah pemutus rantaian jangkitan pada April tahun lalu turut menjejas penyewaan ruang-ruang runcit, sementara sekatan-sekatan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menghambat usaha pemaju itu untuk membawa masuk "perniagaan-perniagaan yang diingini" seperti kafe dan restoran.

Pada Februari 2019, URA menolak permohonan syarikat pemaju itu untuk menukar enam unit kedai di tingkat satu dan dua menjadi restoran bagi "melindungi kemudahan para penduduk yang tinggal berdekatan".

URA kemudian memberitahu Mediacorp bahawa pusat beli-belah itu tidak dibenarkan untuk memilki restoran disebabkan oleh maklum balas yang diterima daripada para penduduk mengenai kesesakan trafik dan masalah tempat letak kenderaan.

Para penduduk yang tinggal berhampiran pusat beli-belah itu berkata mereka mengalu-alukan pembukaan pusat beli-belah itu bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan barang keperluan harian. Seorang penduduk mengharapkan sebuah pasar raya berdekatan kerana kedai-kedai yang terletak paling berhampiran adalah di Loyang.

Kekurangan kemudahan runcit di kejiranan itu turut bermakna bangunan tersebut boleh menampung penyewa utama seperti sebuah pasar raya dan juga perniagaan-perniagaan lain termasuk peruncit kesihatan dan kecantikan, kemudahan jagaan kanak-kanak, pusat kecergasan dan klinik, menurut pengarah kanan CBRE bagi pasaran modal, Clemence Lee.

CBRE bagaimanapun enggan mengulas mengapa bangunan itu akan dijual, sebaliknya setakat menukil usaha untuk menjual bangunan tersebut sedang dipergiatkan. Pihak-pihak yang berminat untuk membeli hartanah itu mesti menyatakan hasrat mereka sebelum 28 Apr.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan