Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Lebih S$7 bilion bantu 140,000 majikan di bawah Skim Bantuan Pekerjaan

Lebih 140,000 majikan di Singapura akan mula menerima bayaran pertama di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai Rabu (15 Apr), menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mashul Singapura (IRAS).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Apr 2020 07:13PM Dikemas Kini : 15 Apr 2020 11:49PM

SINGAPURA: Lebih 140,000 majikan di Singapura akan mula menerima bayaran pertama di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai Rabu (15 Apr), menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mashul Singapura (IRAS).

Dalam kenyataannya, MOF dan IRAS mengumumkan bahawa pembayaran tersebut - bernilai lebih S$7 bilion kesemuanya - akan membantu menampung gaji bagi lebih 1.9 juta pekerja tempatan.

JSS diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan 2020, yang juga dikenali sebagai Belanjawan Perpaduan. Ia bertujuan untuk menyokong majikan dan membantu mereka mengekalkan tenaga kerja tempatan di tengah-tengah ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19.

Ia kemudian diperkukuhkan lagi dalam Belanjawan Berdaya Tahan dan Belanjawan Kesepakatan.

Di bawah JSS, Pemerintah akan membiayai secara bersama gaji kasar setiap pekerja setempat bagi tempoh selama sembilan bulan.

Syarikat-syarikat yang mempunyai akses CorpPass boleh log masuk ke myTax Portal untuk melihat surat pemberitahuan mulai 20 Apr, menurut MOF dan IRAS, sambil menambah para majikan tidak perlu membuat permohonan untuk menerima bayaran JSS.

SOKONGAN BERPERINGKAT BAGI PELBAGAI SEKTOR

Syarikat-syarikat yang layak akan diberitahu melalui pos mengenai tahap sokongan dan jumlah agihan JSS yang akan diterima.

Terdapat tiga tahap sokongan untuk majikan daripada pelbagai sektor: Syarikat-syarikat daripada sektor penerbangan dan pelancongan akan menerima 75 peratus pendanaan bersama, firma-firma sektor khidmat makanan akan menerima 50 peratus pembiayaan bersama, dan firma di semua sektor sektor-sektor lain akan menerima pembiayaan bersama sebanyak 25 peratus.

"Selain itu, syarikat-syarikat boleh memeriksa sama ada mereka layak menerima JSS melalui laman web IRAS," menurut MOF dan IRAS.

Bayaran pertama JSS akan dilakukan mulai Rabu berdasarkan gaji yang dibayar dari Oktober hingga Disember tahun lalu, tambah MOF dan IRAS.

Di bawah JSS, Pemerintah akan membiayai bersama S$4,600 pertama gaji kasar yang dibayar kepada pekerja tempatan setiap bulan bagi tempoh selama sembilan bulan.

SEMUA SEKTOR AKAN TERIMA PEMBIAYAAN BERSAMA 75% BAGI APRIL

MOF dan IRAS menyatakan bahawa subsidi gaji JSS bagi bulan April akan ditambah menjadi 75 peratus bagi semua sektor bagi membantu syarikat-syarikat mengekalkan dan membayar gaji pekerja mereka sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Sokongan gaji bagi bulan-bulan lain akan dikekalkan pada paras 75 peratus bagi sektor penerbangan dan pelancongan, 50 peratus bagi firma sektor khidmat makanan dan 25 peratus bagi syarikat-syarikat lain. Ia akan diagihkan pada Julai dan Oktober tahun ini.

MOF dan IRAS menambah bahawa para majikan yang sebelum ini mendaftar untuk PayNow Corporate atau mempunyai aturan GIRO sedia ada dengan IRAS akan menerima bayaran secara langsung ke akaun bank mereka pada Rabu.

Syarikat-syarikat yang buat masa ini tidak menggunakan GIRO atau PayNow Corporate akan mula menerima cek masing-masing mulai 23 April.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan