Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Lebih banyak subsidi gaji, rebat sewa antara sokongan diperlukan perusahaan dari pakej bantuan kedua

Lebih banyak subsidi gaji, potongan sewa dan levi pekerja asing serta program pinjaman sementara yang lebih luas adalah antara bantuan Pemerintah yang diharapkan oleh para pemilik perniagaan, kumpulan industri dan ahli ekonomi daripada pakej bantuan kedua Pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak subsidi gaji, rebat sewa antara sokongan diperlukan perusahaan dari pakej bantuan kedua
Diterbitkan : 17 Mar 2020 01:50PM Dikemas Kini : 17 Mar 2020 01:52PM

SINGAPURA: Lebih banyak subsidi gaji, potongan sewa dan levi pekerja asing serta program pinjaman sementara yang lebih luas adalah antara bantuan Pemerintah yang diharapkan oleh para pemilik perniagaan, kumpulan industri dan ahli ekonomi daripada pakej bantuan kedua Pemerintah.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, mereka juga mengharapkan agar bantuan dapat dihulurkan dengan lebih pantas dan diperluaskan untuk merangkumi sektor-sektor lain menjangkaui pelancongan dan pengangkutan.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ada mengatakan bahawa pakej kedua sedang diusahakan setelah penularan virus korona baru itu semakin bertambah buruk sejak Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai S$4 bilion diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Membantu pekerja kekal bekerja tetap menjadi teras utama pakej kedua, kata DPM Heng, bersama dengan langkah-langkah lain bagi menyokong mereka yang diberhentikan kerja dan membantu langkah-langkah lain untuk menolong syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) mengharungi kegawatan ini.

Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menyatakan firma-firma mengalu-alukan lebih banyak rebat cukai, sokongan kewangan untuk menggajikan pekerja, melatih dan mengekalkan tenaga kerja serta memudahkan akses kepada bekalan dan peralatan jagaan kesihatan memandangkan COVID-19 mungkin akan berlarutan bagi 'tempoh yang lebih panjang'.

Antara yang sangat-sangat diharapkan daripada syarikat-syarikat perusahaan adalah peluasan Skim Bantuan Pekerjaan. Ia diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej bantuan bulan lalu dan geran tunai sementara itu membantu para majikan untuk menampung dan mengimbangi 8 peratus daripada gaji pekerja tempatan dari Oktober hingga Disember, dengan hadnya dibataskan kepada S$3,600 pekerja setiap bulan.

Potongan bagi levi pekerja asing dan sumbangan majikan kepada CPF juga akan membantu mengurangkan kos tenaga kerja yang membentuk 'perbelanjaan tetap yang paling ketara'.

Menyokongnya, Presiden Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) Douglas Foo berkata sokongan untuk sumbangan CPF majikan akan membantu mengurangkan kos gaji, sambil 'bertindak sebagai insentif untuk syarikat-syarikat mengekalkan tenaga kerja' masing-masing sewaktu tempahan semakin berkurangan.

Bagi perniagaan mikro seperti pegerai makanan pusat penjaga, Pemerintah seharusnya menimbangkan sokongan tunai secara langsung, selain pengecualian sewa selama sebulan, menurut pengamatan ahli ekonomi kanan DBS Irvin Seah.

BANTUAN LEBIH LUAS KEPADA SEKTOR LAIN

Ramai juga mengusulkan agar program pinjaman sementara dapat diperluaskan kepada sektor-sektor lain.

Sektor pengilangan misalnya, menjadi mangsa ketegangan perdagangan tahun lalu dan tahun ini ia berdepan pula dengan COVID-19 dan menurut Encik Foo industri pengilangan makanan dan minuman adalah antara yang terjejas akibat penularan virus yang boleh membawa maut itu.

Selain sokongan untuk perusahaan-perusahaan, para pakar ekonomi juga mengusulkan lebih banyak bantuan untuk menolong pekerja yang diberhentikan kerja dan keluarga berpendapatan sederhana.

PAKEJ BANTUAN KEDUA: BERAPA BESAR, BILA?

Para pakar ekonomi menjangkakan pakej bantuan kedua mungkin lebih besar berbanding pakej pertama yang bernilai S$4 billion.

Sebilangan ahli ekonomi menjangkakan pakej kedua mungkin bernilai antara S$7 billion hingga S$10 bilion.

Sesetengah pemerhati juga berpendapat bahawa Pemerintah 'besar kemungkinan akan menggunakan rizab negara yang lalu bagi menampung dana luar jangkaan itu.

Mereka juga menjangkakan pakej kedua mungkin diumumkan seawal sebelum hujung bulan ini, lebih-lebih lagi dengan perkembangan di peringkat global dan khususnya di Asia Tenggara dan selepas Singapura menguatkuasakan sekatan perjalanan terkini.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan