Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Lebih 70 anggota WTO setuju bincang peraturan e-dagang

Lebih 70 anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), yang menyumbang kepada 90 peratus perdagangan dunia, mula mengadakan rundingan bagi melakar peranan-peranan e-dagang sejagat.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 70 anggota WTO setuju bincang peraturan e-dagang

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran hadir di mesyuarat bagi para menteri, sempena Forum Ekonomi Dunia di Davos pada 25 Jan.

Diterbitkan : 26 Jan 2019 10:27AM Dikemas Kini : 26 Jan 2019 10:32AM

DAVOS-KLOSTERS: Lebih 70 anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), yang menyumbang kepada 90 peratus perdagangan dunia, mula mengadakan rundingan bagi melakar peranan-peranan e-dagang sejagat.

76 anggota itu dipimpin Singapura, Australia dan Jepun.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, hadir di mesyuarat bagi para menteri, sempena Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Jumaat (25 Jan).

Encik Iswaran memberitahu media Singapura di akhir lawatan empat hari ke Davos bahawa e-dagang boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh sesebuah ekonomi, terutama sekali bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Beliau menambah, peraturan-peraturan moden diperlukan bagi memantapkan persekitaran perniagaan yang terbuka supaya para peniaga dapat terus bertahan.

"Perdagangan digital membuka peluang untuk menyertakan pelbagai segmen ekonomi Singapura, seperti SME, dalam cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Penting bagi kita untuk menumpukan perhatian kepada bagaimana perdagangan digital boleh terus dimanfaatkan dan e-dagang jelasnya satu komponen utama," katanya.

Encik Iswaran berkata bahawa perjanjian e-dagang itu tidak sahaja akan mengutamakan agenda digital, tetapi juga mengukuhkan lagi WTO sebagai sebuah agensi berbilang pihak yang mampu memenuhi kebanyakan keperluan terkini ekonomi.

Ia akan mencapai perkara itu dengan menetapkan peraturan-peraturan serta norma-norma yang boleh negara-negara gunakan sebagai panduan untuk mempromosikan kepentingan masing-masing, tambahnya.

Menteri itu juga berkata, pihak-pihak berkepentingan dan para pemimpin global yang ditemui semasa WEF, mempunyai pandangan sangat baik tentang Singapura sebagai sebuah negara yang mampu berkongsi buah fikirannya tentang isu-isu global.

Beliau menambah, Singapura dilihat sebagai "sebuah negara di mana "semuanya dilakukan dengan pantas, dan proses melaksanakan sesuatu tidak dilengahkan dan sebaliknya dijadikan sebagai dasar-dasar tertentu".

Encik Iswaran berkata, keupayaan Singapura menempa nama di persada dunia membolehkannya untuk membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan masyarakat sejagat.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan