Images

Lebih 110,000 pekerja tempatan digaji di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan

SINGAPURA: Lebih 110,000 pekerja tempatan digajikan di bawah Skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan pada September dan Oktober tahun lalu, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (8 Feb).

Hampir separuh daripada mereka berusia 40 tahun dan ke atas. Berdasarkan anggaran penyertaan skim tersebut pada Oktober tahun lalu, sekitar 26,000 majikan memanfaatkan skim tersebut, jelas MOM.

Skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan dilancarkan pada Ogos tahun lalu untuk menggalak syarikat menggajikan lebih ramai warga tempatan sebagai tindak balas terhadap terhadap kesan ekonomi COVID-19.

Di bawah program bernilai S$1 bilion itu, Pemerintah akan membayar bersama antara 25 hingga 50 peratus daripada gaji S$5,000 yang pertama setiap bulan selama setahun.

Sekitar 80 peratus daripada sekitar 14,000 majikan yang layak bagi skim tersebut pada September tahun lalu, mengekalkan atau menambah pengambilan pekerja tempatan mereka pada bulan berikutnya. Pada Oktober sahaja, lebih 11,000 majikan baru layak bagi skim tersebut, menurut MOM.

Kebanyakan majikan yang layak menggajikan satu hingga dua pekerja tempatan, kata MOM. Kira-kira 20 peratus majikan yang layak mengambil bekerja lima atau lebih pekerja tempatan.

Sektor yang paling banyak mengambil pekerja dengan sokongan skim tersebut termasuk perkhidmatan makanan, dengan 17,800 pekerja, perdagangan borong dengan 9,800 pekerja dan perkhidmatan profesional dengan 8,400, menurut perangkaan MOM.

Dalam satu sidang media maya, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata skim tersebut mempunyai "momentum yang baik" buat masa ini.

"Masih belum jelas, bagaimana momentum ini dapat dikekalkan dan pastinya kami akan terus membantu pencari kerja menjalankan tugas mereka," kata Cik Teo.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke agensi pekerjaan SearchAsia Consulting untuk memahami peranan yang dimainkan agensi-agensi seperti itu dalam memadankan pencari kerja tempatan dengan peluang pekerjaan.

Agensi tersebut adalah salah satu daripada lima yang diiktiraf sebagai mempunyai komitmen teguh terhadap amalan pengambilan pekerja yang adil dan membantu syarikat pelanggan mereka memperkukuh pengambilan pekerja warga Singapura dalam tenaga kerja mereka.

Cik Teo menggesa para majikan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja supaya menyemak semula amalan pengambilan pekerja mereka, sambil menambah bahawa agensi pekerjaan dapat membantu mereka, termasuk dengan menolong mereka mempertimbangkan calon yang mungkin mereka terlepas pandang.

Pihak agensi juga dapat membantu pencari kerja yang mungkin terlepas pandang jawatan tertentu kerana mereka hanya menumpukan pada industri dan syarikat yang mereka kenali, tambah Cik Teo.

- CNA/TQ/tq

Top