Images
  • changi
    Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Lapangan Terbang Changi cipta rekod baru, kendalikan 65 juta penumpang pada 2018

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi mengendalikan 65.6 juta penumpang pada 2018, menurut Changi Airport Group (CAG) dalam satu kenyataan media pada Selasa (29 Jan).

Perangkaan itu adalah 5.5 peratus lebih tinggi berbanding jumlah rekod yang dicatatkan pada 2017, yakni sebanyak 60 juta penumpang.

Disember merupakan bulan paling sibuk dengan Lapangan Terbang Changi, mengendalikan 6.13 juta penumpang, sekali gus satu-satunya bulan yang mana jumlah penumpangnya melebihi 6 juta orang.

Hari paling sibuk pula jatuh pada Jumaat (21 Jan) sebelum Krismas,dengan 221,155 penumpang melalui lapangan terbang berkenaan.

PESAWAT BARU, DESTINASI BARU, PENERBANGAN PALING PANJANG

Menurut CAG, 10 laluan penerbangan utamanya kekal tidak berubah dengan Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta merupakan tiga destinasi paling popular. Hong Kong menduduki tangga keempat manakala, Manila kelima.

Bangkok dan Bali naik satu tangga dengan masing-masing menduduki tempat kedua dan keenam.

CAG turut menyatakan bahawa enam daripada 20 laluan penerbangan utama Changi, naik sekurang-kurangnya lima peratus - Bali, London, Manila, Melbourne, Mumbai dan Sydney.

Sepanjang tahun lalu, Lapangan Terbang Changi menyambut tiga syarikat penerbangan baru - Guangxi Beibu Gulf Airlines, LOT Polish dan Shandong Airlines.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines pula melancarkan penerbangan tanpa henti terpanjang di dunia ke New York.

Qantas juga mengadakan semula laluan penerbangan Singapura-London pada 2018, manakala operasi Lufthansa di Munich disambung semula. Trafik udara ke Eropah juga tumbuh kukuh dengan penerbangan tanpa henti ke Berlin dan Warsaw.

Lapangan Terbang Changi kini menyediakan laluan penerbangan langsung ke 19 bandar di Eropah, iaitu yang tertinggi sejak 10 tahun, menurut CAG.

Trafik udara antara Singapura dengan India, pasaran keenam terbesar Changi, meningkat kepada 4.76 juta pada 2018, menurut CAG.

CAG turut memulakan inisiatif baru untuk bekerjasama dengan ejen-ejen pelancongan untuk menawarkan khidmat penerbangan ke destinasi-destinasi baru di China, seperti Guiyang dan Zunyi.

Khidmat penerbangan khas ke bandar-bandar China lain seperti Yancheng, Yichang dan Zhangjiajie juga sedang diterokai. China adalah pasaran ketiga terbesar Lapangan Terbang Changi, dengan 15 syarikat penerbangan mengendalikan lebih 370 khidmat setiap minggu ke 36 bandar. 

- CNA/NA/na

Top