Images
  • thailand airport
    Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand. (Gambar: Athit Perawongmetha/REUTERS)

Lapangan terbang baru di barat Bangkok diusulkan

BANGKOK: Pelancong yang melawat Thailand boleh tiba ke negara itu di sebuah lapangan terbang baru dalam masa tujuh tahun. Ini seandainya saranan daripada jabatan lapangan terbang negara tersebut untuk membina kemudahan di wilayah Nakhon Pathom, barat Bangkok, diluluskan. Demikian menurut laporan-laporan media Thailand.

Berdasarkan laporan Bangkok Post pada Sabtu (20 Jul), langkah tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan di kedua-dua pintu masuk utama ke ibu kota Thailand - Suvarnabhumi and Don Mueang.

Kemudahan seluas 560 hektar itu bakal terletak di antara daerah-daerah Bang Len dan Nakhon Chaisi di Nakhon Pathom.

Projek bernilai 20 bilion baht(S$881.7 juta) itu akan diusulkan kepada kementerian pengangkutan sebelum ia dibincangkan lanjut di Kabinet pada Ogos.

Jika diluluskan, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 2023 dan lapangan terbang berkenaan bakal beroperasi sekitar dua hingga tiga tahun berikutnya. Bangkok Post menukil maklumat itu oleh Ketua Timbalan Pengarah jabatan tersebut, Jarun Meesomboon.

"Pelaburan itu mungkin dalam bentuk usaha sama awam dengan privet atau projek milik negara, (ia) menanti kajian lanjut," kata Encik Meesomboon.

Beliau menambah pelbagai kumpulan privet sudahpun menyatakan minat mereka terhadap projek tersebut, terdorong oleh kadar pulangan dalaman ekonomi yang tinggi sebanyak lebih 20 peratus.

Lapangan terbang Nakhon Pathom dijangka boleh menampung sehingga 25 juta penumpang setahun setelah ia selesai dibangunkan. 

- CNA/FZ/fz

Top