Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Landskap runcit S'pura berubah sejak Fasa 2

Sebulan setelah perniagaan dibuka semula dalam Fasa Kedua pembukaan semula ekonomi Singapura, beberapa pengendali cawangan makanan dan minuman (F&B) mengatakan mereka hampir gulung tikar di tengah-tengah prestasi penjualan yang lembab. 

Anggaran Waktu Membaca:
Landskap runcit S'pura berubah sejak Fasa 2

(Gambar fail: TDOAY)

Diterbitkan : 20 Jul 2020 10:22AM Dikemas Kini : 20 Jul 2020 10:25AM

SINGAPURA: Sebulan setelah perniagaan dibuka semula dalam Fasa Kedua pembukaan semula ekonomi Singapura, beberapa pengendali cawangan makanan dan minuman (F&B) mengatakan mereka hampir gulung tikar di tengah-tengah prestasi penjualan yang lembab. Ada juga yang ingin memperluaskan perniagaan untuk mengelakkan pasaran yang semakin kecil.

Sesetengah peruncit menghadapi cabaran menarik pelanggan ke kedai mereka, terutamanya peruncit yang bergantung kepada pelancong. Menurut mereka, perniagaan mereka merosot sehingga 90 peratus berbanding sebelum wabak COVID-19 melanda. Sebilangan peruncit memberitahu Mediacorp bahawa mereka mungkin akan menutup perniagaan atau mengecilkan operasi mereka, meskipun segelintir peniaga berpeluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pada 19 Jun, lebih dua bulan selepas tempoh 'circuit breaker' dikuatkuasakan pada 7 April untuk mengekang penularan COVID-19 dalam masyarakat, Singapura beralih ke Fasa 2 untuk membuka semula ekonominya.

Kedai-kedai runcit dibenarkan untuk dibuka semula dengan langkah-langkah jarak selamat terus dilaksanakan. Menjamu selera di kedai makan juga dibenarkan, dengan sekatan seperti tidak membenarkan lebih daripada lima pelanggan duduk semeja. Banyak restoran mengurangkan jumlah tempat duduk untuk memenuhi syarat-syarat langkah jarak selamat.

Jurucakap Persatuan Restoran Singapura (RAS) memberitahu Mediacorp pada Jumaat (17 Jul) bahawa kedai F&B di Daerah Pusat Bandar (CBD) terjejas teruk kerana ramai pelanggan tetap mereka terus bekerja dari rumah.

Tujuh puluh peratus kedai melaporkan penjualan merosot sebanyak 50 peratus berbanding sebelum penularan COVID-19, kata jurucakap itu.

Di luar kawasan CBD dan bandar, sekitar 40 peratus pengendali F&B melaporkan penjualan antara 50 hingga 70 peratus tahap sebelum penularan COVID-19.

Mediacorp menemui beberapa pengendali F&B untuk mengetahui bagaimana mereka menempuhi keadaan sejak pembukaan semula ekonomi negara.

RAMAI PERUNCIT BERDEPAN CABARAN

Satu tinjauan melibatkan 124 peruncit yang dijalankan oleh Singapore Tenants United For Fairness pada Jumaat (17 Jul) mendapati bahawa prestasi penjualan bagi 41 peratus perniagaan masih mencatat 50 peratus lebih rendah daripada tahap sebelum pandemik COVID-19. Lagi 29 peratus melaporkan penjualan yang mencatat 30 hingga 50 peratus lebih rendah.

Hampir enam daripada 10 peruncit yang ditinjau berkata bahawa mereka "berkemungkinan" atau "besar kemungkinan" akan menutup sekurang-kurangnya satu kedai dan memberhentikan pekerja dalam tempoh enam bulan ini.

Dalam kalangan 12 peruncit yang dihubungi Mediacorp, sebilangan melaporkan kemerosotan 80 hingga 90 peratus pada penjualan dan jumlah pelanggan sejak sebelum pandemik. Ada juga melaporkan tiada penjualan sama sekali pada sesetengah hari.

Kedai cermin mata Spectacle Hut, yang memiliki 39 cawangan di merata negara mengatakan bahawa kedai-kedai di pusat bandar mencatat prestasi yang jauh lebih teruk berbanding cawangan-cawangan di luar kawasan bandar.

Pengarah Urusan Pierliugi Pontecorvo berkata cawangan di Jewel, Marina Bay Sands dan VivoCity adalah antara cawangan yang menghadapi masa paling sukar disebabkan tiada pelancong.

PERNIAGAAN ONLINE BUKAN HURAIAN BAGI SESETENGAH PENIAGA

Untuk mengatasi jumlah pelanggan yang tidak ramai di kedai fizikal, banyak kedai beralih ke wadah online. Walau bagaimanapun, mereka masih berdepan dengan cabaran, terutamanya bagi perniagaan seperti Hygge yang sebelum ini hanya bergantung kepada kedai fizikal.

"Ketika kami melancarkan kedai dalam talian, ia seumpama memulakan perniagaan baru," kata Encik Tony Hygge, yang menghadapi cabaran menubuhkan pangkalan pelanggan dalam talian kerana kedai itu biasanya bergantung kepada pelanggan yang lalu-lalang dan yang melanggani kedainya secara langsung.

Sesetengah kedai runcit - seperti yang menjual barangan yang boleh direka khas atau pakaian untuk percutian luar negara - juga mendapatinya tidak sesuai untuk beralih ke wadah digital.

"Semua orang berkata ia agak mudah, tetapi ia tidak serupa melakukannya," kata jurucakap jenama flip-flop, Fickle Store.

Beliau menambah bahawa tidak semua perniagaan sesuai dengan pasaran online. Misalnya, ada pembeli yang inginkan "sentuhan peribadi", yang sukar dijelaskan dalam talian.

Kedai barangan Icebreaker yang berasal dari New Zealand dan pengedar tempatan, Outdoor Venture, yang kedua-duanya pakar dalam pakaian dan peralatan kegiatan luar, menyaksikan kemerosotan pada penjualan bagi produk-produknya, yang lebih sesuai untuk perjalanan atas urusan perniagaan atau pelancongan.

Pengarah Icebreaker Lik Wong menambah adalah sukar bagi pelanggan untuk mengetahui apa yang ingin dipesan online kecuali jika mereka tahu saiz yang diinginkan dan bagaimanakah fabrik yang diinginkan.

MENYAHUT PELUANG

Sebilangan peruncit melihat peluang di tengah-tengah ekonomi yang suram.

Jenama fesyen tempatan Benjamin Barker, yang memiliki 11 cawangan, memberitahu Mediacorp bahawa perusahaan itu melihat tempoh ini sebagai peluang untuk memperluas dan membuka lebih banyak gerai kerana pusat beli-belah memaklumkan mereka tentang ruang-ruang yang ada untuk disewa disebabkan penutupan kedai runcit lain.

Ini membolehkan jenama itu merundingkan perjanjian yang lebih baik dengan pusat beli-belah berbanding sebelum penularan COVID-19.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan