Images
  • strawfree
    Kafe Kraftwich kini mengenakan bayaran bagi setiap beg plastik dan tidak lagi memberi straw serta penutup air kecuali jika pelanggan memintanya.  

Kraftwich antara 9 syarikat berazam kurangkan penggunaan plastik

SINGAPURA: Kafe Kraftwich berharap dapat mengurangkan sehingga 70 peratus penggunaan plastik pakai buang pada tahun depan.

Ia merupakan dalam kalangan sembilan syarikat termasuk jenama popular makanan dan minuman (F&B) dan kumpulan hospitaliti yang berazam untuk mengurangkan penggunaan plastik sebagai sebahagian daripada inisiatif World Wide Fund for Nature (WWF).

Plastic ACTion (PACT) bertujuan menyatukan semua usaha oleh syarikat-syarikat bagi menghasilkan pendekatan yang lebih khusus.

Cawangan-cawangan Kraftwich sudahpun mula menggunakan straw dan sudu garfu yang mesra alam.

Lebih daripada itu, kafe tersebut juga mengenakan bayaran bagi setiap beg plastik dan tidak lagi memberi straw serta penutup air kecuali jika pelanggan memintanya.

Kini kafe tersebut turut meninjau pilihan bungkusan makanan yang hendak dibawa pulang. Buat permulaan, tiada bahan plastik digunakan bagi kotak isi sandwich. Kraftwich juga mahu menggalak pendekatan guna semula.

Ia memberi potongan harga 50 sen harga air jika pelanggan membawa cawan sendiri.

AccorHotels Group, yang mengendalikan 15 hotel di seluruh Singapura, pula sedang melakukan pelbagai usaha mesra alam. Misalnya, ia menghasilkan sejenis beg yang dibuat daripada bahan ubi kayu yang akan larut di dalam air panas.

Ini mungkin juga bermakna pada masa hadapan, jumlah beg plastik yang mencemari laut dan darat akan berkurangan.

Selain itu, para tetamu yang menghadiri sesi pertemuan di hotelnya juga tidak lagi diberi air minum di dalam botol plastik. 

- CNA/UR/ai

Top