Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Konsortium Changi diberi projek pengurusan lapangan terbang di Indonesia

Tahun depan, Indonesia akan menawarkan lebih banyak projek pengurusan lapangan terbang kepada para pelabur asing setelah memberikan projek yang pertama kepada sebuah syarikat asing pada Khamis (26 Dis), kata menteri pengangkutan Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
Konsortium Changi diberi projek pengurusan lapangan terbang di Indonesia

Lapangan Terbang Labuan Bajo. (Gambar: Facebook/Bandara Komodo Labuan Bajo)

Diterbitkan : 27 Dec 2019 08:54AM Dikemas Kini : 27 Dec 2019 08:59AM

JAKARTA: Tahun depan, Indonesia akan menawarkan lebih banyak projek pengurusan lapangan terbang kepada para pelabur asing setelah memberikan projek yang pertama kepada sebuah syarikat asing pada Khamis (26 Dis), kata menteri pengangkutan Indonesia.

Negara itu memberikan projek pembangunan dan pengendalian lapangan terbang Komodo selama 25 tahun kepada konsortium PT Cardig Aero Services dan syarikat Singapura, Changi Airports International Pte Ltd.

Lapangan terbang itu terletak di bandar Labuan Bajo di sebuah pulau pelancongan yang menjadi tempat tinggal biawak Komodo.

Ini merupakan kali pertama satu konsortium melibatkan sebuah syarikat asing diberi tanggungjawab mengendalikan sebuah lapangan terbang di Indonesia, menurut Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.

Konsortium berkenaan akan melaburkan 1.2 trilion rupiah (S$116.3 juta) selama tempoh lima tahun untuk meluaskan lapangan terbang itu termasuk memanjangkan landasan bagi menampung pesawat lebih besar yang dijangka tiba langsung dari negara-negara seperti China, Jepun dan India, serta meningkatkan keupayaan lapangan terbang berkenaan lebih enam kali ganda bagi mengendalikan 4 juta pengunjung, kata Menteri Pengangkutan Indonesia Budi Karya Sumadi dalam satu sidang media.

Firma-firma konsortium itu juga dijangka membelanjakan 5.7 trilion rupiah (S$552.8 juta) sepanjang tempoh lima tahun bagi operasinya sementara pemerintah Indonesia akan memberikan jaminan menerusi syarikat kewangan milik pemerintah, kata Encik Sumadi.

"Ini permulaan untuk kami menawarkan kepada (lapangan terbang) lain," kata Encik Sumadi.

"Saya meminta sokongan anda supaya kami dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bajet dan terus membina infrastruktur di merata Indonesia," katanya.

Beliau mendedahkan lapangan terbang Kuala Namu di pinggir bandar Medan, Sumatera Utara, lapangan terbang Sam Ratulangi di bandar Manado di Sulawesi Utara dan sebuah lapangan terbang di Singkawang, Barat Kalimantan sebagai projek-projek yang akan ditawarkan oleh pemerintah pada 2020.

Pelaburan yang diperlukan bagi lapangan terbang Kuala Namu dan Ratulangi bernilai sehingga 8 trilion rupiah (S$775.9), kata Encik Sumadi, sambil menambah ia sudah pun mengendalikan 14 juta pengunjung dan merupakan gerbang masuk yang ideal bagi para pelancong daripada Timur Tengah, China dan India.

"Kami juga akan menawarkan sebuah projek kereta api di Sumatara Selatan, yang sudah pun menarik minat daripada syarikat-syarikat Korea Selatan," kata Encik Sumadi, sambil menambah projek itu dianggarkan bernilai antara 7-10 trilion rupiah (S$678.9 juta - S$969.9 juta).

Presiden Joko Widodo berikrar untuk terus membuat pelaburan besar dalam infrastruktur di Indonesia dalam penggal kedua selama lima tahun beliau memegang jawatan yang bermula pada Oktober.

Kabinetnya menganggarkan sebanyak AS$430 bilion (S$582 bilion) dalam pelaburan infrastruktur akan dibelanjakan antara tahun 2019-2024.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan