Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Komitmen pelaburan bagi 2018 dijangka sama seperti tahun lalu, menurut EDB

Komitmen pelaburan di Singapura bagi tahun 2018 dijangka sama seperti tahun lalu, sedang keadaan ekonomi global terus tidak menentu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jan 2018 03:59PM Dikemas Kini : 30 Jan 2018 11:36PM

SINGAPURA: Komitmen pelaburan di Singapura bagi tahun 2018 dijangka sama seperti tahun lalu, sedang keadaan ekonomi global terus tidak menentu.

Demikian menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (30 Jan).

Dalam sidang media mengenai Tinjauan Prestasi tahun 2017, EDB menyatakan akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai pangkalan pengilangan bernilai tinggi dengan meningkatkan keupayaan negara dalam bidang pengilangan canggih dan digital.

Ini dilakukan dengan menarik pelaburan dari syarikat-syarikat pengilangan canggih, selain terus menyokong perusahaan-perusahaan beralih kepada automasi dan keupayaan digital menerusi inisiatif-inisiatif seperti Indeks Kesediaan Perusahaan Bijak Singapura, menurut agensi tersebut.

Ia turut komited menyokong syarikat-syarikat menyiapkan tenaga kerja bagi pekerjaan-pekerjaan baru.

Untuk itu, EDB akan bekerja rapat dengan Agensi Tenaga Kerja Singapura dan menyokong Program Pertukaran Profesional untuk membantu golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) mendapatkan kemahiran baru dan menukar kerjaya dalam sektor-sektor lain.

Ia juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah seperti Agensi bagi Sains, Teknologi dan Kajian (A*STAR), Enterprise Singapore dan Yayasan Kajian Kebangsaan, untuk memudahkan kajian dan pengembangan teknologi serta huraian-huraian baru.

Memandang ke hadapan, EDB menjangkakan pelaburan aset tetap bagi tahun ini akan mencecah antara S$8 bilion hingga S$10 bilion. Sementara itu, jumlah perbelanjaan perniagaan setahun dianggarkan antara S$5 bilion dengan S$7 bilion. Sekitar 16,000 hingga 18,000 pekerjaan dijangka diwujudkan.

SASARAN 2017 DITEPATI

EDB menyatakan sasaran-sasaran utama tahun lalu dicapai.

Contohnya, pelaburan aset tetap mencecah S$9.4 bilion, iaitu dalam anggaran awal S$8 bilion hingga S$10 bilion.

Jumlah perbelanjaan perniagaan tahunan sebanyak S$6.5 bilion juga berada dalam lingkungan ramalam awal S$5 bilion dengan S$7 bilion.

Apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, projek-projek ini dijangka mewujudkan 22,500 pekerjaan, menjangkau ramalan awal antara 19,000 dengan 21,000 pekerjaan, menurut EDB.

Dr Beh Swan Gin, pengerusi EDB, berkata paras komitmen pelaburan bagi 2017 menunjukkan kekuatan Singapura sebagai bandar perniagaan global dan hab pengilangan.

"EDB juga akan terus memberikan tumpuan kepada perubahan industri, dan membantu syarikat-syarikat untuk kekal berdaya saing dengan memanfaatkan inovasi dalam pengilangan canggih dan teknologi-teknologi digital. Ini akan membuka pintu kepada peluang-peluang baru bagi syarikat yang berpangkalan di Singapura, dan mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Singapura."  

Sumber : CNA/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan