Images
  • Paynow Screengrab
    (Gambar fail: Mediacorp)

Kiriman wang Singapura-Malaysia akan lebih mudah; PayNow-DuitNow dihubung secara berfasa mulai 2022

SINGAPURA: PayNow di Singapura dan DuitNow di Malaysia akan dihubungkan secara berfasa mulai suku keempat 2022, membolehkan pelanggan institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk membuat pindahan wang secara masa nyata antara kedua-dua negara menerusi nombor telefon sahaja.

Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR NETS atau DuitNow yang tertera di depan kaunter kedai, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (27 Sep).

"Projek ini akan membolehkan proses pembayaran yang lebih lancar dibuat bagi jumlah kiriman wang yang besar antara Singapura dan Malaysia, yang mencecah S$1.3 bilion pada 2020," kongsi bank pusat tersebut.

"Jalinan ini juga akan memenuhi keperluan pelawat dari kedua-dua negara yang mencatatkan ketibaan yang besar sebelum pandemik bermula, iaitu sekitar 12 juta setahun secara purata."

Berikutan pelancaran tersebut, jalinan antara PayNow-DuitNow akan diperluaskan secara berperingkat dengan menambah lebih banyak fungsi pembayaran dan institusi kewangan peserta.

MAS dan BNM juga akan "mengkaji kemungkinan untuk menggabungkan ciri-ciri inovatif seperti huraian lejar diedarkan berasaskan teknologi untuk memacu kecekapan penjelasan pembayaran dan penyelesaian antara bank yang mengambil bahagian."

"Jalinan PayNow-DuitNow melambangkan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan rapat antara Singapura dengan Malaysia," menurut MAS dan BNM.

"Jalinan ini sejajar dengan usaha G20 untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus, dan menjadi langkah konkrit ke arah mencapai rangkaian sistem pembayaran masa nyata di ASEAN."

Ketua Pegawai Teknologi Kewangan MAS Sopnendu Mohanty menyifatkan jalinan PayNow-DuitNow sebagai "infrastruktur penting" dalam menyokong keperluan pembayaran rentas sempadan bagi individu dan perniagaan.

Ia juga akan menyokong "kegiatan ekonomi digital yang semakin meningkat" antara Singapura dan Malaysia, tambah beliau.

"Jalinan itu turut memberi MAS dan BNM peluang berharga untuk menggabungkan penggunaan lejar diedarkan dan teknologi kontrak bijak dalam ruang pembayaran borong rentas sempadan."

Penolong Gabenor BNM Fraziali Ismail berkata: "Dengan membawa kecekapan yang ada pada pembayaran dalam negeri kepada pembayaran rentas sempadan, jalinan PayNow-DuitNow akan membawa perubahan yang besar untuk menggalakkan khidmat pembayaran yang lebih pantas, murah dan mudah diakses bagi rakyat kedua-dua negara.

"Inisiatif ini bukan sahaja mampu mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Singapura dengan Malaysia, malah bertindak sebagai pendorong utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi selepas pandemik."

Awal bulan ini, MAS dan Bank Rizab India mengumumkan rancangan menghubungkan PayNow dengan Unified Payments Interface India menjelang Julai 2022.

Pada April, kedua-dua sistem pembayaran runcit masa nyata PayNow dan PromptPay Thailand juga dihubungkan.

- CNA/IH/ih

Top