Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Khidmat kereta sewa RydeX boleh ditempah mulai 2 Mei

Mulai 2 Mei ini, para penumpang yang ingin menempah khidmat kereta sewa boleh melakukannya menerusi wadah baru, RydeX.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat kereta sewa RydeX boleh ditempah mulai 2 Mei

Aplikasi RYDE. (Gambar: www.rydesharing.com)

Diterbitkan : 26 Apr 2018 05:33PM Dikemas Kini : 26 Apr 2018 05:35PM

SINGAPURA: Mulai 2 Mei ini, para penumpang yang ingin menempah khidmat kereta sewa boleh melakukannya menerusi wadah baru, RydeX.

Syarikat tempatan, Ryde, mengumumkan demikian hari ini (26 Apr), sekitar dua minggu selepas menyatakan ia akan menembusi pasaran khidmat kereta sewa sebagai sebahagian daripada strategi bagi mengembangkan perniagaannya. Ryde bermula sebagai khidmat perkongsian kereta pada tahun 2015.

Semasa pelancaran RydeX, CEO Ryde Technologies, Terence Zou, berkata ia sudahpun merekrut 5,000 pemandu kereta sewa yang berlesen dan berhasrat untuk menambah jumlah itu kepada 15,000 dalam tempoh tiga bulan mendatang.

Untuk membezakan firmanya daripada Grab, yang baru-baru ini mengambil alih perniagaan Uber di Asia Tenggara, Ryde hanya menerima tempahan yang dibuat lebih awal, dari 10 minit hingga tujuh hari sebelum masanya.

Ia juga menyasarkan perjalanan jarak pertengahan hingga jauh.

Tambang asas bagi RydeX bermula pada harga S$8 dan para penumpang membayar S$0.60 bagi setiap kilometer selepas itu, menurut Encik Zou.

Harga tambang berdasarkan permintaan pada satu-satu masa pula akan dihadkan kepada S$100 bagi khidmat RydeX yang sudah dijadualkan.

Para penumpang akan dikenakan tambang tetap semasa membuat tempahan. Ini termasuk semua bayaran tokok dan tol seperti ERP.

Ini dikira berdasarkan data sejarah dan menurut Ryde tambang tetap itu tidak akan berubah meskipun "berlaku keadaan yang disebabkan faktor luaran" seperti kesesakan trafik dan kerosakan kenderaan.

Para penumpang juga boleh membuat permintaan bagi pemandu tertentu, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai pengalaman baik dengan pemandu berkenaan.

Mereka juga boleh memberikan tip kepada para pemandu menerusi aplikasi RydeX dan tiada yuran tambahan khidmat dikenakan jika mereka memilih untuk melakukannya, menurut kenyataan media syarikat itu.

Selain itu, terdapat pilihan bagi khidmat premium RydeExec. Ini untuk para penumpang yang mahu menaiki kereta mewah. Tambang asas bagi kenderaan sedemikian bermula pada harga S$18.

Mengulas tentang strategi syarikatnya, Encik Zou berkata: "Perjalanan jarak pertengahan hingga jauh lebih menguntungkan. Ini bermakna tambang lebih mahal dan lebih banyak pendapatan buat para pemandu serta komisyen untuk syarikat.

"Bagi para pemandu, mereka sudah memberikan maklum balas bahawa mereka tidak mahu menerima tempahan bagi perjalanan jarak dekat kerana ia tidak menguntungkan dari sudut pandangan seorang pemandu. Mereka memerlukan masa (untuk mengambil penumpang) dan (jika) mereka hanya melakukan perjalanan jarak dekat, maka masa tidak digunakan secara optimum."

Encik Zou menambah syarikatnya merancang untuk menawarkan khidmat perjalanan berdasarkan tempahan pada bila-bila masa pada masa akan datang.

"Kami perlu mendapatkan jisim penting bagi wadah kami sebelum melancarkan khidmat tambahan," katanya.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan