Images
  • singpost
    (Gambar: Francine Lim)

Keuntungan SingPost naik hampir 16% kepada S$50 juta

SINGAPURA: Singapore Post melaporkan keuntungan bersih syarikat itu meningkat hampir 16 peratus dalam suku ketiga berbanding setahun yang lalu. Sebahagian besarnya dirangsang oleh keuntungan yang diraih melalui penjualan sahamnya dalam sebuah syarikat di China.

Keuntungan SingPost bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada bulan Disember mencecah S$50 juta dolar.

Jika tidak mengambil kira keuntungan luar biasa, keuntungan bersih SingPost bagi suku tersebut merosot 7.5 peratus berbanding tahun lalu, yang mencatat hampir 33 juta dolar.

Hasil pendapatan meningkat 7.6 peratus kepada lebih 441 juta dolar. Ia dipacu oleh prestasi lebih mantap dalam semua segmen perniagaan sewaktu musim kemuncak e-dagang global.

Syarikat itu baru-baru ini mendapat perhatian ramai akibat beberapa kelemahan pada operasinya.

Pada bulan Jan, SingPost memohon maaf kepada para pelanggannya kerana "mutu khidmatnya yang kian memburuk" sepanjang beberapa minggu lalu. Ia menyatakan mutunya terjejas kerana tempoh sibuknya antara Nov hingga Dis.

Dua minggu kemudian, seorang posmen yang ditugaskan di kawasan Ang Mo Kio diberkas selepas seorang penduduk mengatakan bahawa beliau menemui surat-surat dalam tong sampah sehingga Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) memutuskan untuk menjalankan siasatan.  

- CNA/AQ/aq

Top