Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Keppel tawar perjanjian S$3.4 bilion peroleh SPH, tidak termasuk perniagaan media

Konglomerat Singapura, Keppel Corp, menyatakan pada Isnin (2 Ogos) bahawa ia akan membuat tawaran untuk memperolehi dan menswastakan Singapore Press Holdings (SPH), tidak termasuk perniagaan media akhbar itu, dalam satu perjanjian yang meletakkan nilai SPH pada S$3.4 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2021 12:51PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:51PM

SINGAPURA: Konglomerat Singapura, Keppel Corp, menyatakan pada Isnin (2 Ogos) bahawa ia akan membuat tawaran untuk memperolehi dan menswastakan Singapore Press Holdings (SPH), tidak termasuk perniagaan media akhbar itu, dalam satu perjanjian yang meletakkan nilai SPH pada S$3.4 bilion.

"Apabila skim berjaya diluluskan, SPH akan digugurkan daripada bursa saham," menurut SPH dalam satu kenyataan media. SPH akan menjadi anak syarikat milik penuh Keppel.

Para pemegang saham SPH akan menerima tunai S$0.668 selain 0.596 unit REIT Keppel dan 0.782 unit REIT SPH bagi setiap saham yang dimiliki.

Skim tersebut bagaimanapun bergantung kepada kelulusan para pemegang saham SPH dan Keppel serta syarat-syarat lain termasuk kelulusan kawal selia.

"Keppel akan memegang baki saham REIT SPH dan REIT Keppel masing-masing sekitar sebanyak 20 peratus," tambah SPH.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Ng Yat Chung berkata ia adalah "hasil proses semakan semula strategik yang berjalan selama berbulan-bulan".

"Kami mengambil langkah pertama dengan menyusun semula (perniagaan) media untuk memastikan masa depannya mampan dan menghapuskan kerugiannya daripada SPH," terang Encik Ng.

"Langkah seterusnya adalah proses menyeluruh untuk memanfaatkan dan memaksimumkan nilai untuk semua pemegang saham bagi syarikat yang tinggal.

"Dengan tawaran untuk menswastakan syarikat daripada Keppel, para pemegang saham kini mempunyai peluang untuk memanfaatkan nilai saham SPH mereka pada harga dagang premium 39.9 sen sebelum semakan strategik itu diumumkan," tambah beliau.

Dalam kenyataan medianya, Keppel menyatakan SPH mempunyai "portfolio bermutu" perniagaan dan aset yang diselaraskan dengan perniagaan Keppel.

CEO Keppel Loh Chin Hua berkata ia adalah "peluang yang jarang berlaku" untuk memperolehi portfolio bukan media SPH.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan