Images
  • MAS building
    (Gambar fail: Darren Whiteside/Reuters)

Kemungkinan besar tiada perubahan dasar kewangan MAS dalam April: Pakar ekonomi

SINGAPURA: Meskipun inflasi meningkat, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak akan tergesa-gesa untuk menyesuaikan dasar kewangan bila ia mengadakan mesyuarat setengah tahunannya bulan depan, kata para pakar ekonomi.

Ini kerana ekonomi Singapura, yang mencatat kemelesetannya yang terburuk pada 2020 akibat pandemik COVID-19, masih dalam proses pemulihan yang perlahan dan tidak menentu, tambah mereka.

Daripada menetapkan kadar faedah, MAS menguruskan ekonomi melalui mata wang. Penguasa itu membolehkan kadar pertukaran terapung dalam jalur dasar yang tidak didedahkan, dan mengubah jalur itu apabila ia mahu menyesuaikan kadar kenaikan atau penurunan nilai dolar Singapura.

Kali terakhir ia menilai semula dasarnya, bank pusat itu menyatakan pihaknya akan "mengekalkan kadar kenaikan jalur dasar sifar peratus setahun", selepas dua kali berturut-turut melonggarkannya. Pihaknya menambah bahawa pendirian disesuaikan ini "akan kekal wajar untuk beberapa waktu" dengan inflasi teras dijangka kekal rendah.

Inflasi umum meningkat 0.7 peratus bulan lalu selepas kembali positif pada 0.2 peratus pada Januari.

Sungguhpun begitu para pakar ekonomi berpendapat MAS akan menunda sebarang perubahan dasar.

KENAIKAN INFLASI HANYA "AGAK SEDERHANA"

Pakar ekonomi perbankan privet CIMB Song Seng Wun berkata inflasi, walaupun meningkat, tetap "agak sederhana" berbanding dengan tahap sebelum pandemik.

Selain itu, kenaikan itu dicatat berbanding asas yang rendah dan didorong oleh faktor-faktor jangka pendek. Ini termasuk kenaikan harga komoditi seperti minyak, serta kos penghantaran dan pengangkutan yang lebih tinggi kerana sekatan baru dan kekurangan kontena perkapalan global.

Ekonomi juga terus mengalami pemulihan yang tidak menentu.

Menyuarakan pandangan serupa, pakar ekonomi Maybank Kim Eng berkata mereka menjangkakan MAS “kekal bersabar walaupun menghadapi risiko inflasi” dan mempertahankan dasar neutral pada meysuarat dalam April.

Namun, mereka mengambil perhatian terdapat kemungkinan langkah mengetatkan dasar sebanyak 30 dalam Oktober jika inflasi melonjak, dengan MAS beralih semula kepada "pendirian kenaikan nilai yang agak bertahap-tahap dan sederhana".

Ahli ekonomi Barclays Bank, Brian Tan menolak kemungkinan pelonggaran lebih lanjut oleh bank pusat memandangkan bagaimana bahagian terburuk pandemik telah berlalu dan program vaksinasi sedang dijalankan. Rentak eksport negara ini juga "kekal utuh" dan keadaan pasaran buruh bertambah baik, tambahnya.

Sungguhpun begitu, langkah dasar lebih ketat juga amat tidak berkemungkinan dengan penyambungan semula perjalanan antarabangsa, "syarat penting langkah mengetatkan dasar pertukaran mata wang", masih tidak menentu.

JANGKAAN INFLASI MUNGKIN BERUBAH

Apa yang akan berubah pada mesyuarat akan datang adalah jangkaan bank pusat bagi inflasi umum.

Pihak berkuasa telah menyatakan dalam laporannya minggu lalu bahawa lingkungan ramalan 2021 untuk inflasi umum sedang dikaji semula memandangkan "kenaikan harga barang-barangan bukan asas yang lebih mendadak daripada dijangkakan". Kemas kini boleh dijangkakan pada kenyataan dasar kewangan MAS pada April.

Para pakar ekonomi menjangkakan bank pusat akan meningkatkan julat ramalan, yang sekarang ini berada pada -0.5 peratus, kepada 0.5 peratus

- CNA/TQ/tq

Top