Images
  • Singapore Skyline gloomy
    Gambar fail bangunan di CBD. (Gambar: Alvin Chong)

Kemelesetan paling buruk bagi S'pura dalam tempoh 55 tahun; ekonomi menguncup 13.2% pada suku kedua

SINGAPURA: Pemerintah menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2020 sedang negara ini mengalami kemelesetan ekonomi yang paling gawat sejak mencapai kemerdekaan.

Dari ramalan awal yang mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup antara 4 hingga 7 peratus, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan pada Selasa (11 Ogos) bahawa hasil dalam negeri kasar (GDP) akan menguncup antara 5 hingga 7 peratus.

Ekonomi Singapura yang bergantung kepada perdagangan menguncup sebanyak 13.2 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding tempoh yang sama setahun lalu - mencatatkan prestasi lebih buruk berbanding kemerosotan 12.6 peratus yang diramalkan sebelum ini.

Berdasarkan perbandingan dari suku ke suku pula, ekonomi Singapura merosot sebanyak 13.1 peratus.

"Kemerosotan GDP disebabkan oleh langkah pemutus rantaian jangkitan yang dikuatkuasakan antara 7 April hingga 1 Jun 2020 bagi membendung penularan COVID-19 di Singapura serta permintaan luaran yang lemah di tengah-tengah kemelesetan ekonomi sejagat yang turut disebabkan oleh pandemik COVID-19," menurut MTI dalam satu kenyataan media.

Antara sektor yang terjejas teruk adalah sektor binaan, pengangkutan dan penyimpnan serta penginapan dan khidmat makanan.

Sektor binaan merosot 59.2 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu kerana hampir semua kegiatan binaan dihentikan semasa tempoh pemutus jangkitan.

"Syarikat-syarikat binaan juga terjejas oleh gangguan pada tenaga manusia disebabkan oleh langkah tambahan bagi mengekang penularan virus, termasuk sekatan pergerakan di dormitori pekerja asing," menurut MTI.

Bagi sektor pengangkutan dan penyimpanan, perjalanan udara sejagat yang terjejas teruk, muatan laut yang merosot di pelabuhan dan kemerosotan ketara pada penggunaan pengangkutan awam disebabkan oleh aturan bekerja dari rumah menyebabkan sektor itu menguncup sebanyak 39.2 peratus bagi tempoh yang sama.

Sektor penginapan dan khidmat makanan juga merosot 41.1 peratus pada suku kedua berbanding tempoh yang sama setahun lalu, disebabkan oleh kemerosotan pada jumlah pelawat antarabangsa dan sekatan terhadap kegiatan menjamu selera di luar semasa tempoh pemutus jangkitan.

MTI menyatakan ramalan bagi permintaan luaran Singapura melemah sedikit sejak Mei lalu apabila ia menurunkan ramalan pertumbuhan bagi 2020 kepada antara -7 hingga -4 peratus.

- TODAY/HA/ha

Top