Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kematian akibat nahas pesawat komersil utama berkurangan lebih 50% pada 2019

Jumlah orang terbunuh dalam nahas-nahas pesawat komersil berkurangan lebih 50 peratus pada 2019 meskipun perhatian meluas tertumpu kepada nahas pesawat Boeing 737 yang terhempas di Habsyah pada Mac, menurut sebuah firma runding cara Belanda pada Rabu (2 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian akibat nahas pesawat komersil utama berkurangan lebih 50% pada 2019

Serpihan runtuhan di tempat nahas pesawat Ethiopian Airlines berhampiran Bishoftu, sebuah bandar terletak kira-kira 60 kilometer di tenggara Addis Ababa. (Gambar: Michael Tewelde/AFP)

Diterbitkan : 02 Jan 2020 10:05AM Dikemas Kini : 02 Jan 2020 10:08AM

WASHINGTON: Jumlah orang terbunuh dalam nahas-nahas pesawat komersil berkurangan lebih 50 peratus pada 2019 meskipun perhatian meluas tertumpu kepada nahas pesawat Boeing 737 yang terhempas di Habsyah pada Mac, menurut sebuah firma runding cara Belanda pada Rabu (2 Jan).

Firma runding cara penerbangan To70 menyatakan, terdapat 86 kemalangan melibatkan pesawat-pesawat komersil - termasuk lapan insiden membawa maut - menyebabkan 257 kematian tahun lalu.

Pada 2018, terdapat 160 kemalangan termasuk 13 yang membawa maut, menyebabkan 534 kematian, kata firma itu.

To70 menyatakan kadar kemalangan membawa maut berkaitan pesawat-pesawat besar dalam sektor pengangkutan udara penumpang komersil hanya 0.18 kemalangan membawa maut bagi setiap sejuta penerbangan pada 2019, atau purata satu kemalangan membawa maut bagi setiap 5.58 juta penerbangan, iaitu jauh lebih rendah berbanding 2018.

Angka kematian termasuk penumpang, anak kapal seperti paramugara/pramugari dan sesiapa yang terbunuh di darat akibat nahas pesawat.

Khidmat pesawat 737 Max digantung sejak Mac selepas kejadian pesawat terhempas di Indonesia pada Oktober 2018 dan di Habsyah pada Mac yang keseluruhannya membunuh 346 orang.

To70 menyatakan industri penerbangan berusaha keras pada 2019 untuk "memberi tumpuan kepada apa yang disebut sebagai 'ancaman masa depan' seperti dron".

Namun nahas-nahas MAX "adalah satu peringatan bahawa kita perlu mengekalkan tumpuan pada asas-asas yang menjadikan penerbangan awam selamat: pesawat yang direka dan dibangunkan dengan baik yang diterbangkan oleh kakitangan yang cukup berpengatahuan dan terlatih".

Sejak dua dekad lalu, kematian berkaitan penerbangan di merata dunia berkurangan secara mendadak meskipun jumlah penerbangan meningkat. Tidak lama sebelum ini, pada 2005, terdapat 1,015 kematian berkaitan penerbangan penumpang komersil di merata dunia, menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan.

Tahun 2017 mencatat rekod paling selamat di serata dunia dengan hanya dua nahas berlaku menyebabkan 13 kematian dan tiada nahas berkaitan jet penumpang yang membawa maut.  

Sumber : Reuters/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan