Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kemajuan awal: AS-China setuju akan 'Fasa Pertama' perjanjian perdagangan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (11 Okt) menggariskan fasa pertama perjanjian untuk menghentikan perang dagang dengan China. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kemajuan awal: AS-China setuju akan 'Fasa Pertama' perjanjian perdagangan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2019 09:57PM Dikemas Kini : 12 Oct 2019 10:00PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (11 Okt) menggariskan fasa pertama perjanjian untuk menghentikan perang dagang dengan China. Washington juga menggantung kenaikan cukai yang sebelum ini diancam akan dilaksanakan terhadap Beijing.

Namun, kedua-dua pihak berkata lebih banyak perlu dilakukan sebelum persetujuan dapat dicapai.

Perjanjian baru yang merangkumi sektor-sektor pertanian, mata wang dan beberapa aspek perlindungan hak milik intelektual itu akan mewakili langkah terbesar yang diambil oleh kedua-dua negara dalam 15 bulan bagi mengakhiri tindak balas cukai yang menggoyahkan pasaran kewangan dan menjejas pertumbuhan global.

Namun, pengumuman pada Jumaat itu tidak mempunyai banyak maklumat dan Encik Trump berkata ia mungkin mengambil masa hingga lima minggu bagi mencapai pakatan.

Beliau akur perjanjian itu boleh gagal semasa tempoh itu, namun, berkeyakinan bahawa ia tidak akan gagal.

"Saya rasa kami mempunyai persefahaman asas tentang isu-isu utama. Kami mengkaji sejumlah besar dokumen tetapi masih lagi banyak yang harus dilakukan," kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Steven Mnuchin sedang kedua-dua pihak berkumpul bersama Encik Trump di Rumah Putih.

"Kami tidak akan menandatangani perjanjian kecuali jika kita dapat dan boleh memberitahu Presiden Trump apa yang tertera pada kertas itu," katanya.

Dengan Naib Perdana Menteri Liu He duduk di meja bertentangannya di Oval Office setelah dua hari rundingan bersama para perunding, Encik Trump memberitahu wartawan bahawa kedua-dua pihak hampir menamatkan konflik perdagangan mereka.

"Terdapat banyak ketegangan antara Amerika Syarikat dan China, dan kini hubungan kita baik. Ia satu perkara yang baik," katanya.

Trump berucap selepas rundingan dua hari di Washington bersama Mnuchin dan Wakil Perdagangan Robert Lighthizer dan delegasi yang diketuai oleh Liu di pihak China.

Encik Mnuchin berkata Encik Trump bersetuju untuk tidak meneruskan dengan kenaikan cukai daripada 25 peratus kepada 30 peratus terhadap sekitar AS$250 bilion (S$343 bilion) produk China yang sepatutnya berkuat kuasa pada Selasa (8 Okt).

Namun, Encik Lightizer berkata Encik Trump belum lagi membuat keputusan berhubung cukai yang dijangka berkuat kuasa pada Disember.

Apabila ditanya mengenai cukai demikian, Encik Trump berkata: "Saya rasa kita akan mempunyai persetujuan yang lebih baik menjangkaui cukai."

Sebelum ini, Encik Trump menegaskan beliau tidak akan berpuas hati dengan persetujuan separuh-separuh bagi menyelesaikan usahanya selama dua tahun untuk mengubah amalan perdagangan, perlindungan hak intelektual dan undang-undang industri China yang menurut beliau menjejas jutaan pekerjaan di Amerika Syarikat.

Encik Trump dan Presiden China Xi Jinping dijadual menghadiri sidang puncak Kerjasama Ekonomi Negara Asia Pasifik di Santiago, Chile pada 16 November.

Kedua-dua pihak mengenakan cukai terhadap ratusan bilion dolar barangan semasa pertikaian sejak beberapa bulan lalu. Namun, ada tanda-tanda positif sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan