Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kelantan sasar jadi pengeluar madu kelulut terbesar M'sia

Kelantan menyasarkan untuk menjadi negeri pengeluar madu kelulut terbesar di Malaysia dengan melahirkan 10,000 pengusaha madu itu menjelang tahun 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Kelantan sasar jadi pengeluar madu kelulut terbesar M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Sep 2019 06:54PM Dikemas Kini : 01 Sep 2019 06:58PM

PASIR PUTEH: Kelantan menyasarkan untuk menjadi negeri pengeluar madu kelulut terbesar di Malaysia dengan melahirkan 10,000 pengusaha madu itu menjelang tahun 2025. Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau berkata sepanjang tahun ini sahaja, seramai 600 pengusaha baru madu kelulut didaftarkan di negeri itu.

“Bagi mengembangkan industri itu, kerajaan negeri telah membina Makmal Inovasi di Pasir Pekan, Tumpat,” kata Encik Mohd Saripudin kepada wartawan selepas merasmikan program ‘Baby Box Food Basket 11 2019’ di Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh pada Ahad (1 Sep).

Beliau menjelaskan menerusi makmal itu, pengusaha boleh menjual hasil ternakan mereka di situ untuk diproses supaya madu yang dihasilkan lebih bermutu serta bebas daripada sebarang bentuk pencemaran selain boleh bertahan lebih lama untuk disimpan.

“Di makmal itu juga, madu tersebut akan dipakej supaya lebih menarik dan sesuai untuk dipasarkan dalam negeri dan di luar negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising.

Beliau berkata pada masa ini, jenama madu kelulut dari Kelantan sudahpun dipasarkan di kebanyakan pasar raya dan di dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Encik Mohd Saripudin berkongsi bahawa tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM100,000 (S$32,995) bagi membantu para pengusaha baru dan 300 pengusaha yang sedia ada untuk menyediakan peralatan termasuk benih spesis kelulut di seluruh Kelantan.

“Manakala pada tahun depan, kerajaan negeri bercadang akan memperuntukkan sekali ganda iaitu lebih RM200,000 (S$65,990) dalam usaha untuk melipatgandakan lagi industri itu,” ujarnya.

Encik Mohd Saripudin menambah projek berkenaan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan petani dan memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk menceburi industri tersebut selain meningkatkan ekonomi negeri. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan