Images
  • factory output sg
    (Gambar: AFP)

Kegiatan pengilangan S'pura catat pertumbuhan 15 bulan berturut-turut pada September

SINGAPURA: Kegiatan pengilangan Singapura mencatat pertumbuhan buat 15 bulan berturut-turut pada September, namun pada kadar lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada September merosot kepada 50.8 daripada 50.9, menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada Isnin (4 Okt).

Bacaan PMI melebihi 50 menandakan ekonomi perkilangan secara amnya berkembang sementara bacaan di bawah kadar itu menunjukkan penguncupan.

"Walaupun dengan trend pertumbuhan perlahan dalam sektor bukan elektronik, sektor perkilangan secara keseluruhan mencatatkan perkembangan selama 15 bulan berturut-turut," menurut SIPMM.

Bacaan terbaru PMI itu disebabkan oleh kadar pertumbuhan lebih perlahan dalam indeks utama pesanan baru, eksport baru, hasil pengilangan, inventori dan pekerjaan, menurut SIPMM.

Indeks barang siap, harga input dan penghantaran pembekal meningkat pada kadar lebih pantas sementara indeks bagi kedua-dua import dan tunggakan pesanan mencatat kadar pertumbuhan lebih perlahan.

Indeks harga input pada 51.7 merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan sejak Disember 2017, apabila indeks pada ketika itu adalah 51.8, menurut SIPMM.

Indeks pekerjaan meningkat selama tujuh bulan berturut-turut, tambahnya.

- CNA/HA/ha

Top