Images
  • factory worker
    Seorang pekerja mengendap keluli di sebuah kilang di Jurong. (Gambar fail: Reuters) 

Kegiatan pengilangan S'pura berkembang 10 bulan berturut-turut; PMI catat bacaan tertinggi sejak Dis 2018

SINGAPURA: Kegiatan pengilangan di Singapura berkembang buat 10 bulan berturut-turut pada April, menurut perangkaan yang dikeluarkan hari ini (3 Mei) oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM).

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) mencatatkan kenaikan 0.1 mata pada April untuk mencatat kadar perkembangan lebih pantas iaitu 50.9, bacaan paling tinggi sejak Disember 2018 apabila PMI adalah 51.1.

Bacaan PMI melebihi 50 menandakan ekonomi perkilangan secara amnya berkembang sementara bacaan di bawah kadar itu menunjukkan penguncupan.

Bacaan PMI April dipacu oleh kadar pertumbuhan lebih tinggi dalam indeks pesanan baru, eksport baru dan pengambilan pekerja, menurut SIPMM. Perkembangan lebih perlahan dicatatkan dalam hasil pengeluaran pengilangan dan inventori manakala indeks penghantaran pembekal juga menunjukkan kadar penguncupan lebih pantas.

Kadar perkembangan yang lebih tinggi juga dicatat bagi indeks import, harga input dan tunggakan pesanan walaupun kadar perkembangan yang lebih rendah dicatat bagi indeks stok barang siap.

PMI sektor elektronik mencatat kenaikan sedikit iaitu sebanyak 0.1 mata dari bulan sebelumnya untuk mencatat kadar pertumbuhan lebih pantas pada 50.7 yakni bagi bulan kesembilan untuk sektor elektronik, menurut SIPMM.

Sejak 24 Apr lalu, Singapura menggantung kemasukan semua pemegang pas jangka penjang dan pelawat jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan ke India baru-baru ini.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah jumlah rekod kes COVID-19 dan kematian di India.

- CNA/FZ/fz

Top