Images
  • factory
    Para pekerja di sebuah kilang di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Kegiatan kilang S'pura merosot 3 bulan berturut-turut pada Julai

SINGAPURA: Kegiatan kilang Singapura menguncup buat tiga bulan berturut-turut pada Julai, sedang perdagangan global yang serba tidak menentu menyebabkan gangguan besar pada rangkaian bekalan sedia ada pengilang tempatan, menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) hari ini (2 Ogos).

Namun begitu, rentak penguncupannya lebih perlahan dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi bulan Julai - yang mengukur kegiatan pengilangan dan sentimen sektor tersebut - mencatat 49.8 mata, naik 0.2 mata berbanding bulan Jun.

PMI merosot ke paras bawah 50.0 mata pada bulan Mei selepas mencatat pertumbuhan selama 32 bulan berturut-turut.

"Peningkatan PMI didorong oleh pertumbuhan kecil pada tempahan baru dan hasil pengeluaran kilang dan juga pertumbuhan berterusan bagi eksport-eksport baru," menurut SIPMM.

Walaupun sektor elektronik menguncup sembilan bulan berturut-turut, PMI sektor tersebut naik 0.1 mata kepada 49.3.

Ini disebabkan oleh kadar penguncupan yang lebih perlahan bagi tempahan baru, eksport baru, inventori dan paras pengambilan pekerja, tambah SIPMM.

Sektor pengilangan juga menguncup di merata Asia dan Eropah pada bulan lalu, meningkatkan lagi kebimbangan terhadap perang dagang Amerika Syarikat-China yang berpanjangan dan kelembapan ekonomi boleh mengakibatkan dunia berdepan dengan kemelesetan. 

- CNA/RU/ru

Top