Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kedai runcit pertama M'sia di Arab Saudi ini jual budu, belacan, tempe, tempoyak, cincalok... 

Kalau anda berada di Jeddah Arab Saudi, dan rindu dengan makanan seperti Maggie, keropok lekor, Nasi Dagang Terengganu, kicap Cap Kipas Udang atau makanan berperisa durian Musang King, anda boleh mendapatkannya!

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai runcit pertama M'sia di Arab Saudi ini jual budu, belacan, tempe, tempoyak, cincalok... 

Kedai Asia. (Gambar-gambar: Kedai Asia)

Diterbitkan : 28 May 2018 11:39PM Dikemas Kini : 28 May 2018 11:50PM

KUALA LUMPUR: Kalau anda berada di Jeddah Arab Saudi, dan rindu dengan makanan seperti Maggie, keropok lekor, Nasi Dagang Terengganu, kicap Cap Kipas Udang atau makanan berperisa durian Musang King, anda boleh mendapatkannya!

Sebuah kedai runcit khusus Malaysia yang pertama, bernama Kedai Asia, baru sahaja dilancarkan secara rasmi di Jeddah pada 10 Mei. Ia menawarkan lebih 300 jenis produk makanan dan minuman Malaysia. Ia turut bercadang menubuhkan kedai serupa di Makkah.

Kedai Asia. (Gambar-gambar: Kedai Asia)

Kedai Asia sulung itu terletak di kawasan kejiranan Al Rawdah di Jeddah, di sekitar Jalan Tahlia, kawasan fesyen dan beli-belah penting di pusat bandar. Kedai runcit itu kini menjadi tempat popular di kalangan rakyat Malaysia serta ekspatriat Asia yang lain, selain penduduk tempatan.

Sebelum ini tidak ada sesiapa pernah terfikir yang produk asli Malaysia seperti budu, belacan, tempe, tempoyak, cincalok dan pekasa' akan berada di negara asing yang jauh, tetapi kini mereka boleh diperolehi di rak-rak kedai ini.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Yusram Yusup memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jenama Malaysia yang laris dalam kalangan penduduk tempatan termasuk Kopi Hang Tuah, Old Town, Adabi, Yeo's, produk Boh Tea and Life.

"Ia adalah platform yang baik untuk pembekal makanan dan minuman Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk bekerjasama dengan Kedai Asia kerana mereka mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk mengimport produk Malaysia ke Arab Saudi," katanya.

Operasi kedai itu bermula pada 2011 di lokasi lain sebelum dipindahkan ke premis semasa dan menurut pengasasnya, Engku Isa Al-Husam, perniagaan itu bermula sebagai pembekal dan pengedar produk makanan Malaysia ke pasar raya besar.

Kedai Asia. (Gambar-gambar: Kedai Asia)

"Disebabkan sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia yang tinggal di Jeddah serta penduduk tempatan, kami memutuskan untuk membuka Kedai Asia.

"Apabila kami mula membawa masuk produk, terdapat banyak prosedur yang perlu dipatuhi, yang melibatkan pendaftaran setiap produk dan mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi," kata Engku Isa.

"Pembukaan kedai ini berjaya dibuat berikutan sokongan padu daripada wakil Konsulat dan MATRADE kita di Jeddah. Mereka memberi sokongan apabila kita menghadapi masalah yang berkaitan dengan dokumentasi dan prosedur import," kata Encik Ahmad Imran, Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Asia.

Selain menawarkan pelbagai jenis produk Malaysia, kedai ini juga menyediakan perkhidmatan makanan untuk haji dan umrah kepada pelbagai pembekal di Makkah.

Kedai Asia merancang untuk menubuhkan cawangan di bandar utama di Arab Saudi seperti Makkah, Riyadh dan Dammam.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata: "Konsulat Malaysia dan MATRADE menyokong penuh inisiatif yang dapat mempamerkan produk tempatan di negara itu.

"Secara tidak langsung, ia mempromosi jenama Malaysia di Arab Saudi dan mewujudkan lebih banyak kesedaran di kalangan penduduk tempatan mengenai produk Malaysia."

Kedai Asia. (Gambar-gambar: Kedai Asia)

Kini Kedai Asia sedang mempromosi lebih daripada 50 syarikat Malaysia dengan lebih 500 unit simpanan stok produk.

Sebilangan rakyat Malaysia yang tinggal di Jeddah, Makkah dan Madinah turut menghadiri pelancarannya pada awal bulan ini. Hidangan terkenal di Malaysia seperti roti canai, nasi lemak, teh tarik dan kuih-muih telah disediakan semasa majlis tersebut.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan