Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kecewa setelah kebenaran makan di restoran seminggu lewat daripada jangkaan

Antara kelonggaran yang diharap-harapkan orang ramai bermula 14 Jun nanti adalah kebenaran untuk boleh duduk makan di luar. Namun ia tersebut tidak menjadi kenyataan apabila pihak berkuasa mengumumkan bahawa makan di luar hanya dibenarkan bermula seminggu kemudian, iaitu pada 21 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Antara kelonggaran yang diharap-harapkan orang ramai bermula 14 Jun nanti adalah kebenaran untuk boleh duduk makan di luar.

Namun harapan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19 mengumumkan bahawa makan di luar hanya dibenarkan bermula seminggu kemudian, iaitu pada 21 Jun.

Salah satu restoran popular, The Malayan Council yang dihubungi BERITAmediacorp mendedahkan ia sebenarnya sudah menerima banyak tempahan untuk minggu hadapan.

Lantaran itu restoran itu tidak menyembunyikan rasa kecewa bahawa kelonggaran makan di restoran tidak berkuat kuasa pada 14 Jun.

"Dengan sejujurnya saya merasa agak kecewa kerana kami sudah menerima hampir 30 tempahan untuk minggu hadapan tetapi kami tidak mengesahkannya kerana belum lagi pasti sama ada orang ramai boleh makan di luar mulai Isnin (14 Jun)," menurut pemiliknya, Encik Hafiz Alkhatib.

Beliau berkongsi bahawa dua cawangan The Malayan Council di Winstedt Road dan  Dunlop Street, serta restoran the Fortune Cookie ditutup buat sementara waktu dalam tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Hanya cawangan The Malayan Council di Bussorah Street yang mengambil tempahan pesanan makanan.

"Perniagaan kami merosot sebanyak 85 peratus, lebih buruk daripada sekitar 75 peratus sewaktu tempoh 'Circuit Breaker' tahun lalu," kongsi beliau.

Namun demikian, para pelanggannya kelihatan sudah menzahirkan minat untuk kembali ke restoran itu. Sebaik sahaja pengumuman MTF dihebahkan, restoran itu sudah menerima 30 tempahan lewat petang tadi (10 Jun).

Meskipun terpaksa menunggu seminggu lagi sebelum boleh menerima pelanggan makan di restoran, Encik Hafiz berkata, masa tersebut akan membolehkannya membuat persiapan yang sewajarnya.

Kakitangan The Malayan Council menyusun kerusi meja. (Gambar-gambar: Petikan dari video)

"Kami akan menggunakan tempoh itu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan membasmi kuman selain membuat persiapan jarak selamat."

"Selain itu, kami akan juga menggunakan tempoh tersebut untuk melatih semua kakitangan kami untuk melaksanakan peraturan jarak selamat yang lebih ketat seperti tidak membenarkan kumpulan yang mengenali satu sama lain duduk di meja yang bertentangan," tambah Encik Hafiz lagi.

Mulai bulan depan, restoran-restoran akan juga perlu melaksanakan 'Ujian Pantas dan Mudah atau FET untuk semua pekerja masing-masing.

"Sememangnya, ia adalah satu lagi langkah keselamatan yang perlu kami laksanakan tetapi saya tidak fikir ia membebankan. Ramai kakitangan saya yang belum atau tidak layak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. Dengan ujian wajib itu, kami sekurang-kurangnya akan lebih pasti mereka bebas daripada koronavirus.

"Saya percaya ramai lagi pelanggan kami yang masih teragak-agak untuk makan di luar jadi, kami harap mereka dengan adanya ujian wajib itu, semua pelanggan kami dapat keluar makan bersama teman-teman atau keluarga dengan tenang," ujar beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan