Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kecekalan demi cari nafkah: Dari pemotong ayam, kini usahawan burger

Kecekalan seorang pemuda yang dahulunya bekerja sebagai pemotong ayam di pasar pagi dengan gaji RM900 (S$290) sebulan, kini boleh berbangga kerana bergelar pemilik restoran MHR Burger’s yang mampu meraih pendapatan kasar mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kecekalan demi cari nafkah: Dari pemotong ayam, kini usahawan burger

Bonzer Beef Burger antara tawaran MHR Burger's. (Gambar: MHR Burger's/Facebook)

Diterbitkan : 19 May 2021 09:59AM Dikemas Kini : 19 May 2021 10:02AM

PORT DICKSON: Kecekalan seorang pemuda yang dahulunya bekerja sebagai pemotong ayam di pasar pagi dengan gaji RM900 (S$290) sebulan, kini boleh berbangga kerana bergelar pemilik restoran MHR Burger’s yang mampu meraih pendapatan kasar mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

Tekad mahu mengubah nasib keluarga terutamanya selepas pemergian ibu tercinta mendorong Mohd Hafizi Roslan, 35 tahun, serius meneroka bidang perniagaan sejak tiga tahun lalu sehingga kini mampu menggajikan 40 pekerja di restoran dua tingkat terletak di Medan Remis, Port Dickson.

(Gambar-gambar: MHR Burger’s/Facebook)

Berkongsi mengenai perjalanan hidupnya, anak sulung daripada lima beradik itu berkata beliau bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Besar Seremban sejak berusia 19 tahun selama empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti pada 2008 dan mencuba berniaga burger secara kecil-kecilan di depan rumahnya dengan modal RM200 (S$65) hasil dorongan bapanya.

“Hampir dua bulan menganggur kerana sukar untuk mendapatkan pekerjaan, bapa saya memberi idea untuk membuka gerai burger di depan rumah, daripada situ saya banyak timba pengalaman dengan mencipta resepi sendiri,” katanya kepada Bernama.

Mengakui bukan satu perjalanan yang mudah, Mohd Hafizi berkata pelbagai cabaran perlu ditempuh antaranya menumpang tapak warung peniaga lain selain menjual burger di tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan Lukut, tapak gerai di Bandar Sunggala dan kafe Politeknik Port Dickson, setiap hari bermula 7.00 pagi sehingga 1.00 pagi, dibantu oleh beberapa pekerja.

TERIMA PELANGGAN LUAR NEGARA SEBELUM PKP

Beliau berkata dengan bantuan serta bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) serta duit yang dikumpul hasil daripada perniagaannya itu, akhirnya impian untuk membuka restoran tercapai dengan modal RM10,000 (S$3,200).

Anak kelahiran Seremban itu berkata antara makanan yang dijual di restorannya itu adalah tiga jenis burger premium iaitu crispy chicken burger, supreme lamb burger dan bonzer beef burger selain roti john pelbagai perisa serta pelbagai makanan Barat seperti lamb chop dan chicken chop.

Menurutnya lagi, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas, beliau turut menerima pelanggan dari seluruh Malaysia dan luar negara seperti Singapura dan Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hasil jualan terjejas teruk susulan PKP menyebabkan kami terpaksa menukar strategi perniagaan demi kelangsungan hidup dengan mengadakan jualan terus dari but kereta di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Mohd Hafizi berkata meskipun terjejas teruk akibat COVID-19, beliau tidak pernah membuang pekerjanya malah bersama-sama berganding bahu mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan, antaranya menjual serta mempromosi makanan di taman perumahan selain melakukan penghantaran makanan.

Katanya dalam masa terdekat beliau merancang membuka satu lagi cawangan sama ada di Senawang, Seremban atau Sendayan selain bercita-cita membuka 50 cawangan di seluruh Malaysia pada 2030.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan