Images
  • cruise
    (Gambar: CNA)

Kapal-kapal pesiaran dinaik taraf untuk merebut peluang pertumbuhan pasaran Asia

SINGAPURA: Kapal pesiaran "Voyager of the Seas' milik syarikat Royal Caribbean dengan 15 geladak akan menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai AS$97 juta (S$134 juta).

Ia akan mengambil masa 41 hari dengan hampir 2,000 pekerja kontraktor menjalankan kerja-kerja naik taraf itu.

Kapal itu adalah keempat daripada 10 kapal pesiaran Royal Caribbean yang akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada pelaburan AS$1 bilion (S$1.38 bilion) syarikat pengendali kapal pesiaran itu.

Hasil kajian dan maklum balas para penumpang, kapal itu juga akan memperkenalkan beberapa ciri baru apabila ia berlayar sekali lagi pada 21 Okt dengan tujuan menarik golongan pelanggan lebih muda.

Ini termasuk melengkapi kapal itu dengan permainan gelongsor air dan tembakan senjata laser atau 'laser-tag'.

Dengan golongan keluarga berangkai membentuk lebih daripada separuh penumpang Royal Caribbean, syarikat itu berharap dapat menarik lebih ramai pasangan muda dengan menubuhkan sebuah taman asuhan kanak-kanak di atas kapalnya.

INDUSTRI PESAT TUMBUH DAN BERUBAH

Pelaburan itu dilakukan sedang industri kapal pesiaran sedunia terus menyaksikan pertumbuhan.

Asia adalah pasaran ketiga terbesar industri berkenaan selepas Amerika Utara dan Eropah, dengan 4.24 juta penumpang tahun lalu.

Jumlah itu adalah peningkatan 4.6 peratus berbanding tahun lalu, menurut Persatuan Antarabangsa Pengendali Pelayaran.

Perangkaan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pula menunjukkan 1.87 juta rakyat Singapura melancong dengan menaiki kapal pesiaran pada tahun lalu iaitu peningkatan 35 peratus berbanding 2017.

Pengarah Perhubungan Pemasaran Dynasty Travel, Alicia Seah berkongsi bahawa bercuti dengan menaiki kapal pesiaran menawarkan pengalaman lebih santai.

Menurutnya, ini terutamanya menarik minat warga emas dan pasangan dengan anak-anak kecil.

Cik Seah turut berkata kedudukan Singapura sebagai hab kapal pesiaran di Asia bermakna lebih banyak kapal pesiaran akan melalui Asia Tenggara.

Sedang makanan dan permainan secara lazimnya menarik penumpang lebih berusia, syarikat-syarikat pengendali kini menawarkan lebih banyak tarikan untuk golongan pelancong lebih muda.

Ini termasuk menawarkan permainan gelongsor air dan aktiviti memanjat tembok serta acara-acara unik seperti festival muzik di atas kapal.

Pengendali kapal-kapal pesiaran ternyata sedang berusaha menarik bahagian pasaran yang baru itu.

Misalnya, Dream Cruises menawarkan kapal persiaran 'Justice League @ Sea' bertemakan adiwira DC Comics berciri mesra keluarga, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meluaskan dan meneroka pasaran baru.

Royal Caribbean pula memperkenalkan aplikasi mudah alih yang memudahkan para pelanggan membuat tempahan kegiatan dan makan malam di atas kapal.

- CNA/HA/ha

Top