Images
  • kilang
    Gambar: Bernama

Kajian kawasan industri baru di Johor dijangka selesai akhir tahun

JOHOR BAHRU: Kajian berhubung cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baharu di negeri Johor termasuk keperluan memindahkan kilang di Pasir Gudang dijangka siap akhir tahun ini.

Pegawai Daerah Johor Bahru Mohammed Ridha Abdul Kadir yang mengetuai Jawatankuasa Kesejahteraan Pasir Gudang berkata, sehingga kini belum ada sebarang keputusan diperoleh atau dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat perbincangan.

"Cadangan kawasan penempatan baharu untuk kilang-kilang ini sedang dipertimbangkan di peringkat bahagian ekonomi dan sehingga sekarang ini belum ada maklumat lanjut.

"Ada cadangan beberapa tempat tetapi masih dipertimbangkan dan belum diputuskan, di mana ia boleh berada di mana-mana tempat yang sesuai tetapi yang penting tidak terlalu dekat dengan penempatan penduduk," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor Peringkat Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini (8 Sep).

Mohammed Ridha berkata kajian mengenai pemindahan kilang itu masih di dalam perbincangan memandangkan banyak perkara perlu diperhalusi berikutan usaha pemindahan sesebuah kilang itu perlu melihat kepada sumber lain.

"Semua masih dalam perbincangan (pemindahan kilang), kerajaan perlu perhalusi banyak perkara sebab sektor kilang ini amat unik, mana-mana kilang yang kita hendak pindahkan ke suatu kawasan lain perlu juga ambil kira sumber yang ada, kilang lain yang turut menyokong kepada aktiviti yang dikeluarkan oleh satu kilang yang lain.

“Berkemungkinan (kajian siap pada akhir tahun)… lebih cepat, lebih bagus sebab saya dimaklumkan penduduk Pasir Gudang ternanti-nantikan keputusannya,” katanya.

- Bernama/ZM/zm

Top