Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar pengangguran S'pura naik pada Julai; tamatkan pemulihan 8 bulan berturut-turut

Kadar pengangguran di Singapura meningkat pada Julai, menamatkan pemulihan yang dicatatkan buat lapan bulan berturut-turut, menurut perangkaan terbaru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Sep 2021 01:36PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 10:27PM

SINGAPURA: Kadar pengangguran di Singapura meningkat pada Julai, menamatkan pemulihan yang dicatatkan buat lapan bulan berturut-turut, menurut perangkaan terbaru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (6 Sep).

Kenaikan itu mungkin disebabkan "pengurangan sementara bagi permintaan tenaga kerja" di sektor-sektor tertentu semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 13 Jun, menurut kementerian itu.

Secara keseluruhan, kadar pengangguran pada Julai naik kepada 2.8 peratus, 0.1 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran bagi penduduk naik kepada 3.7 peratus berbanding 3.5 peratus, manakala kadar pengangguran bagi rakyat juga naik kepada 3.9 peratus daripada 3.7 peratus.

Ini bermakna, seramai 87,300 penduduk menganggur pada Julai, termasuk 77,200 warga Singapura, menurut MOM.

"Pun begitu, kadar pada Julai adalah lebih rendah berbanding Mei," tambah kementerian itu.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata kenaikan kadar pengangguran berlaku di tengah-tengah sekatan COVID-19 lebih ketat semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), dan mungkin mencerminkan kurangnya permintaan bagi tenaga kerja di sektor yang terjejas seperti makanan & minuman serta perdagangan runcit.

"Sedang Singapura beralih ke arah menjadi negara yang berdaya tahan terhadap COVID, langkah-langkah akan dilonggarkan lebih lanjut apabila lebih banyak sektor ekonomi kita dibuka semula. Ini akan membantu meningkatkan permintaan bagi tenaga kerja dan membolehkan pasaran buruh kita terus pulih," katanya dalam satu catatan Facebook.

"Pada masa yang sama, saya menggalak syarikat-syarikat agar terus berinovasi dan menyemak semula operasi perniagaan mereka untuk memenuhi perubahan keperluan ekonomi."

Maklumat lebih terperinci akan dikeluarkan dalam laporan pasaran buruh suku kedua MOM pada 15 Sep.

MOM telah mengeluarkan perangkaan pengangguran bulanan sejak Julai 2020. Sebelumnya, kadar pengangguran diterbitkan setiap suku tahun.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan