Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar pengangguran S'pura catat paras tertinggi dalam 10 tahun

Kadar pengangguran Singapura mencecah paras tertinggi dalam sedekad dan jumlah pengambilan pekerja merosot ke paras rekod terendah dalam suku pertama, sedang pasaran buruh terjejas oleh kesan awal COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jun 2020 01:35PM Dikemas Kini : 15 Jun 2020 11:01PM

SINGAPURA: Kadar pengangguran Singapura mencecah paras tertinggi dalam sedekad dan jumlah pengambilan pekerja merosot ke paras rekod terendah dalam suku pertama, sedang pasaran buruh terjejas oleh kesan awal COVID-19.

Menurut laporan pasaran buruh terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (15 Jun), kadar pengangguran keseluruhan meningkat dari 2.3 peratus pada suku sebelumnya kepada 2.4 peratus.

Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Singapura pula meningkat dari 3.3 kepada 3.5 peratus, dan dalam kalangan penduduk - atau rakyat Singapura dan Penduduk Tetap, ia naik dari 3.2 peratus kepada 3.3 peratus.

Kadar pengangguran jangka panjang bagi penduduk, yang merujuk kepada individu yang tidak mempunyai pekerjaan selama sekurang-kurangnya 25 minggu, kekal sebanyak 0.9 peratus.

Jumlah pemberhentian kerja meningkat dari 2,670 kepada 3,220 pada suku pertama, didorong oleh kemerosotan dalam pelbagai sektor, menurut MOM.

MOM mendapati 1,537 pekerja tempatan terjejas oleh penutupan perniagaan pada suku pertama tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda berbanding 628 pekerja pada suku sebelumnya.

Lagi 4,190 pekerja dikurangkan waktu bekerja atau dikenakan cuti wajib tanpa gaji - iaitu lima kali jumlahnya pada suku sebelum ini iaitu seramai 840 pekerja. Namun jumlah itu lebih rendah berbanding 26,530 pekerja semasa puncak krisis kewangan global.

Menurut MOM, ini bermakna para majikan memilih untuk membuat penyesuaian sementara bagi menguruskan tenaga kerja berlebihan dan mengurangkan kos perniagaan daripada memberhentikan para pekerja.

BILANGAN JAWATAN KOSONG BERKURANGAN

Nisbah jawatan kosong kepada golongan penganggur merosot ke paras terendah dalam sedekad, dari 0.84 kepada 0.71 pada suku pertama. Ini bermakna hanya tujuh jawatan kosong ditawarkan bagi setiap 10 penganggur di Singapura.

Terdapat 46,300 jawatan kosong pada Mac tahun ini berbanding 52,700 pada Disember tahun lalu.

Sektor makanan dan minuman, seni dan hiburan serta pentadbiran menyaksikan kemerosotan terbesar dalam bilangan jawatan kosong, sementara jumlah peluang pekerjaan meningkat dalam bidang-bidang seperti teknologi infokom dan jagaan kesihatan.

Purata waktu kerja berbayar juga merosot 0.3 peratus sepanjang suku kedua kepada 44.4 jam pada Mac, mencerminkan kemerosotan dalam bayaran waktu kerja lebih masa.

JUMLAH PENGAMBILAN KERJA CATAT REKOD TERENDAH

Jumlah pengambilan pekerja secara keseluruhan yang tidak termasuk para pembantu rumah asing mencatatkan penguncupan suku tahunan terbesar dalam rekod apabila ia menguncup sebanyak 25,600 pada suku pertama setelah meningkat sebanyak 19,800 pada suku sebelumnya.

Ini adalah lebih daripada unjuran awal MOM sebanyak 19,900 yang diterbitkan pada April lalu.

Kemerosotan itu lebih daripada yang disaksikan semasa wabak SARS pada suku kedua tahun 2003 dan krisis kewangan global pada suku pertama 2009, yang mana jumlah pekerjaan masing-masing menguncup sebanyak 24,000 dan 8,000. Menurut MOM, kemerosotan itu disebabkan oleh kemerostan ketara dalam jumlah pengambilan pekerja asing, meskipun jumlah pekerjaan tempatan turut merosot.

Industri-industri berkaitan perdagangan dan pelancongan serta binaan paling terjejas teruk oleh kemerosotan dalam pengambilan pekerja.

Jumlah pekerja dalam sektor F&B, binaan dan runcit - ketiga-tiga sektor yang mengalami kemerosotan paling pantas dalam jumlah pengambilan pekerja - masing-masing merosot sebanyak 8,300, 5,800 dan 5,400 bagi tempoh antara bulan Januari dengan Mac.

Sebaliknya, pentadbiran awam dan pendidikan, khidmat profesional dan khidmat kewangan menyaksikan jumlah pekerjaan masing-masing meningkat lebih daripada 2,000, meskipun peningkatan ini tidak cukup untuk mengimbangi pengurangan dalam sektor lain.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan