Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar pengangguran naik sedikit kepada 2.3% pada suku ketiga 2019

Kadar pengangguran secara keseluruhan di Singapura naik sedikit dalam suku ketiga tahun ini sekalipun jumlah pertumbuhan pengambilan pekerja melonjak lebih tiga kali daripada suku sebelumnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pengangguran naik sedikit kepada 2.3% pada suku ketiga 2019

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Dec 2019 05:50PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 05:52PM

SINGAPURA: Kadar pengangguran secara keseluruhan di Singapura naik sedikit dalam suku ketiga tahun ini sekalipun jumlah pertumbuhan pengambilan pekerja melonjak lebih tiga kali daripada suku sebelumnya.

Kadar pengangguran yang disesuaikan secara musiman meningkat sedikit pada September kepada 2.3 peratus daripada 2.2 peratus pada suku kedua, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (12 Dis).

Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk juga tumbuh 3.2 peratus daripada 3.1 peratus pada suku sebelumnya, dengan pengangguran bagi rakyat Singapura naik sedikit kepada 3.3 peratus daripada 3.2 peratus.

MOM menarik perhatian bahawa walaupun jumlah pengambilan pekerja (tidak termasuk pembantu rumah warga asing) melonjak sebanyak 21,700 dalam suku ketiga 2019, iaitu lebih tiga kali lebih banyak berbanding pertumbuhan pada suku lalu sebanyak 6,200. Jumlah itu juga bertambah baik daripada setahun lalu apabila pengambilan pekerja tumbuh sebanyak 16,700.

Sebahagian besar pertumbuhan pengambilan pekerja dicatatkan dalam sektor perkhidmatan, dipacu oleh khidmat moden, khidmat masyarakat, sosial dan peribadi serta khidmat pentadbiran dan sokongan.

Sebilangan besar kenaikan dalam pengambilan pekerja bagi sektor-sektor perkhidmatan itu melibatkan penduduk tempatan, menurut MOM.

Sementara itu, jumlah jawatan kosong yang disesuaikan secara musiman merosot kepada 42,200 pada September daripada 47,700 pada Jun.

Peluang pekerjaan bagaimanapun kekal wujud, menurut MOM, khususnya bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dalam sektor-sektor perkhidmatan.

Berucap pada Isnin sebelum perangkaan terkini itu dikeluarkan, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata pertumbuhan dalam pengambilan pekerja menandakan "masih ada sedikit daya tahan dalam pasaran buruh".

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa kadar pengangguran juga tumbuh kerana meskipun majikan sedang mencari pekerja terutamanya dalam sektor perkhidmatan, mereka juga lebih berhati-hati ketika mengambil pekerja. Pencari kerja akan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan sebuah jawatan lantas menyumbang kepada peningkatan dalam pengangguran, kata Cik Teo.

Pemberhentian pekerja naik sedikit kepada 2,430 dalam suku ketiga tahun ini berbanding 2,320 dalam suku sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah itu lebih rendah berbanding 2,860 pada setahun lalu.

MOM menyatakan antara punca utama yang menyumbang kepada pemberhentian pekerja dalam suku ketiga tahun ini adalah penyusunan semula dan rombakan perniagaan.

Menyentuh tentang isu pekerjaan yang tidak sepadan dengan kemahiran, Cik Teo berkata perkara itu akan sentiasa ada. Bahkan, beliau menegaskan, Singapura mesti menjangkakannya "jika kita mengubah ekonomi kita pada rentak yang cepat".

Cik Teo menambah: "Apabila perniagaan melakukan inovasi, keperluan pekerjaan akan berubah. Memandangkan kita mempunyai satu sistem baik untuk membantu orang ramai memperolehi kemahiran baru yang akan membuat mereka lebih cekap dalam jawatan baru, maka inovasi menjadi satu perkara mustahil di Singapura." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan