Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar kenaikan gaji dijangka meningkat lebih baik tahun 2020

Pakar ekonomi Saktiandi Supaat menjangkakan kadar pekerjaan dan kenaikan gaji pekerja akan terus meningkat lebih baik pada tahun depan berbanding tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakar ekonomi Saktiandi Supaat menjangkakan kadar pekerjaan dan kenaikan gaji pekerja akan terus meningkat lebih baik pada tahun depan berbanding tahun ini.

Malah peningkatan tersebut menurutnya akan bersifat lebih menyeluruh, dan bukan terhad terhadap sektor-sektor tertentu.

Beliau membuat ulasan demikian semasa diminta pandangannya menyusuli Laporan Awal Tenaga Buruh yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang dikeluarkan hari ini (28 Nov).

TEMPOH SUKAR AKAN BERANSUR PULIH

Tahun 2019 adalah satu tahun yang mencabar disebabkan beberapa faktor seperti pertikaian dagangan Amerika-China.

Konflik itu melembapkan dagangan dan perniagaan, serta turut memberi kesan terhadap landskap pekerjaan di sini.

Namun, tempoh sukar ini dijangka menganjak lebih baik tahun depan.

Encik Saktiandi Supaat yang merupakan pakar ekonomi Maybank, percaya walaupun sektor pengilangan yang bergantung kepada eksport ke Amerika dijangka sedikit lembap, sektor lain seperti kesihatan, pendidikan dan komunikasi maklumat dijangka merangsang pertumbuhan pada 2020.

Malah ekonomi Singapura mungkin dibantu oleh pertumbuhan di Asia sendiri.

"Mungkin kita mempunyai pertumbuhan ekonomi Asia yang boleh menampung, pertumbuhan yang lebih baik saya rasa tahun 2020.

"Jadi, kita mungkin akan melihat ketidakseimbangan, dari segi Amerika Syarikat lembap sedikit tapi pertumbuhan di dunia lain, di Asia mungkin akan melihat pemulihan sedikit pada 2020," kata Encik Saktiandi yang menyandang jawatan Naib Presiden Eksekutif, Pasaran Global, Ketua Kajian Strategi Mata Wang Asing Maybank.

PEMULIHAN YANG MENDATAR

Encik Saktiandi juga menjangkakan bahawa pemulihan tahun depan akan bersifat "mendatar" dan "perlahan" disebabkan permintaan yang lemah dari Amerika Syarikat.

Di sini jugalah beliau berkata Belanjawan 2020 mungkin memberi sedikit sebanyak bantuan kepada para pekerja dan syarikat-syarikat.

"Jadi bajet yang akan datang ini saya harap memberi sedikit sebanyak langkah untuk jangka masa panjang agar pekerja dan firma-firma mendapat iktibar dari infrastruktur, dan pelaburan.

"Kedua, saya rasa pekerja-pekerja mungkin akan diberi pertolongan pada jangka masa yang pendek agar mereka tidak begitu bimbang tentang adanya pekerjaan-pekerjaan untuk warga Singapura yang baik dalam masa terdekat," jelasnya

Menurut Encik Saktiandi lagi pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan sudah "kelihatan ketara" daripada golongan 20 peratus terbawah.

Ini kerana sejak dua tahun lalu pemerintah sudah memberi tumpuan kepada peningkatan bagi gaji mereka menerusi pelbagai skim dan inisiatif.

"Jadi mereka yang bergaji rendah mendapat peningkatan gaji yang sedikit sebanyak dapat menolong mereka, untuk menampung keluarga dan juga diri mereka sendiri," kata Encik Saktiandi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan