Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Juruterbang SIA setuju gaji dipotong sehingga 60% demi selamatkan kerja di tengah COVID-19

Gaji para juruterbang Singapore Airlines (SIA) akan dipotong antara 10 hingga 60 peratus setelah kesatuan yang mewakili mereka bersetuju dengan pihak majikan berhubung perjanjian yang dijangka akan menyelamatkan sekitar 400 pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Juruterbang SIA setuju gaji dipotong sehingga 60% demi selamatkan kerja di tengah COVID-19

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 Sep 2020 02:49PM Dikemas Kini : 19 Sep 2020 02:53PM

SINGAPURA: Gaji para juruterbang Singapore Airlines (SIA) akan dipotong antara 10 hingga 60 peratus setelah kesatuan yang mewakili mereka bersetuju dengan pihak majikan berhubung perjanjian yang dijangka akan menyelamatkan sekitar 400 pekerjaan.

Perjanjian baru itu dipersetujui oleh SIA dengan Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan Singapura – Singapore (Alpa-S) yang akan berkuat kuasa dari 1 Okt sehingga Mac 2022.

Seorang jurucakap bagi kesatuan tersebut memberitahu Mediacorp bahawa dengan pemotongan gaji terkini itu, SIA akan dapat melindungi semua pekerjaan domestik sehingga Mac 2022.

Ini diumumkan kurang dua minggu selepas SIA Group mendedahkan bahawa ia akan memberhentikan sekitar 2,400 pekerja yang bertugas di SIA, SilkAir dan Scoot di Singapura dan luar negara.

Perincian mengenai pemotongan gaji itu dimaklumkan kepada semua juruterbang melalui surat pekeliling yang dikeluarkan oleh naib presiden kanan operasi penerbangan SIA, Kapten CE Quay, pada Jumaat (18 Sep).

Salinan surat pekeliling itu dilihat oleh pihak Mediacorp.

Para juruterbang yang digajikan semula adalah yang paling teruk terjejas, dengan gaji mereka dipotong sebanyak 60 peratus.

Ini termasuk komponen berubah-ubah bulanan (MVC) sebanyak 10 peratus daripada gaji mereka.

Gaji para juruterbang akan dipotong antara 25 hingga 28.5 peratus, manakala gaji pegawai pertama akan dipotong antara 15 hingga 18.5 peratus, bergantung kepada gaji mereka sekarang.

Sebagai contoh, seorang pegawai pertama yang menerima gaji S$8,000 sebulan akan menyaksikan pemotongan gaji sebanyak 15 peratus secara keseluruhannya - yang terdiri daripada pemotongan 10 peratus pada MVC dan lagi 5 peratus pada gajinya.

Ini bermakna secara keseluruhannya gaji bulanannya akan dikurangkan sebanyak S$1,200. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan