Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jurong Port selesai pemerolehan saham keluarga Lim dalam Universal Terminal

Pengendali pelabuhan Jurong Port selesai proses pemerolehan sahamnya dalam sebuah terminal simpanan minyak utama dari keluarga yang memiliki syarikat pedagang minyak Hin Leong Trading, menurut seorang jurucakap pelabuhan pada Sabtu (20 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Jurong Port selesai pemerolehan saham keluarga Lim dalam Universal Terminal

(Gambar: Hin Leong)

Diterbitkan : 22 Mar 2021 02:32PM Dikemas Kini : 22 Mar 2021 02:33PM

SINGAPURA: Pengendali pelabuhan Jurong Port selesai proses pemerolehan sahamnya dalam sebuah terminal simpanan minyak utama dari keluarga yang memiliki syarikat pedagang minyak Hin Leong Trading, menurut seorang jurucakap pelabuhan pada Sabtu (20 Mac).

Jurucakap itu berkata Jurong Port yang dimiliki pemerintah selesai membeli saham 41 peratus dalam Universal Terminal dari keluarga Lim. Beliau enggan memberi butiran urus niaga itu.

Seorang peguam bagi keluarga itu tidak segera menjawab emel Reuters yang cuba mendapatkan komen.

Perjanjian itu menandakan penjualan aset minyak dan perkapalan paling berharga yang dimiliki oleh hartawan minyak Lim Oon Kuin, anak lelakinya Evan Lim Chee Meng dan anak perempuannya Lim Huey Ching.

Ini berlaku hampir setahun selepas Hin Leong, dahulu pedagang minyak terbesar Asia, dibebani hutang sekitar AS$4 bilion (S$5.4 bilion) dan melalui penyusunan semula mahkamah.

Pada awal bulan ini, Mahkamah Tinggi meluluskan penutupan Hin Leong.

Reuters melaporkan pada Februari lalu bahawa Jurong Port dijangka mengambil alih saham keluarga Lim dalam Universal Terminal. Keluarga itu menguruskan dan memiliki saham menerusi Universal Group Holdings.

Penjualan saham terminal itu pada 2016 meletakkan nilai seluruh terminal itu pada lebih AS$1.5 bilion (S$2 bilion), menurut sumber industri pada waktu itu.

PetroChina International (Singapore) memiliki 25 peratus daripada terminal itu manakala MAIF Investments Singapore, sebuah unit bank pelaburan Australia Macquarie Group, memiliki baki 34 peratus.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan