Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jumlah sewaan flat HDB, kondo melonjak pada Mac; harga sewa turut meningkat

Jumlah unit kondominium yang disewakan pada bulan Mac mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, manakala jumlah sewa bagi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencapai tahap tertinggi dalam masa sembilan bulan, menurut data awal portal hartanah SRX pada Rabu (14 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah sewaan flat HDB, kondo melonjak pada Mac; harga sewa turut meningkat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Apr 2021 09:51PM Dikemas Kini : 14 Apr 2021 11:15PM

SINGAPURA: Jumlah unit kondominium yang disewakan pada bulan Mac mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, manakala jumlah sewa bagi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencapai tahap tertinggi dalam masa sembilan bulan, menurut data awal portal hartanah SRX pada Rabu (14 Apr).

Harga sewa bagi unit-unit kondominium juga meningkat buat tiga bulan berturut-turut manakala harga sewa bagi flat-flat jualan semula HDB mencatat peningkatan selama sembilan bulan berturut-turut.

Para penganalisis hartanah memberitahu Mediacorp bahawa aliran Penduduk Tetap (PR) yang stabil, pemegang pas jangka panjang dan pelajar yang kembali ke Singapura disebabkan oleh keadaan COVID-19 yang bertambah baik di sini menyebabkan permintaan sewa yang lebih tinggi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Satu lagi faktor mungkin kerana ramai yang menunggu sehingga selepas sambutan Tahun Baru Cina pada bulan lalu untuk menandatangani surat pajak, menurutnya.

Berhubung harga sewa yang meningkat, ketua penyelidikan dan runding cara OrangeTee & Tie, Christine Sun berkata bahawa bekalan rumah kini agak terhad dan kadar penginapan adalah tinggi kerana ramai penyewa telah memperbaharui pajakan mereka.

"Rumah yang sudah siap dibina juga berkurangan disebabkan oleh kelengahan pada kerja-kerja binaan. Dengan itu, harga sewa bagi kondominium dan flat HDB terus meningkat pada bulan lalu disebabkan oleh permintaan lebih tinggi dan jumlah bekalan yang rendah," katanya lagi.

PERANGKAAN KONDOMINIUM

Laporan SRX mengenai pasaran sewa pada Mac mendedahkan harga sewa kondominium naik sebanyak 0.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah sewa pula melonjak sebanyak 32.4 peratus berbanding bulan sebelumnya. Dianggarkan 5,118 unit disewa pada Mac berbanding 3,865 unit pada Februari.

Sungguhpun demikian, jumlah sewa pada Mac adalah 3.1 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Pada Mac tahun lalu, kesan penuh dari COVID-19 seperti tempoh pemutus rantaian jangkitan belum lagi dirasakan. Jumlah sewa juga adalah 0.3 peratus lebih rendah daripada jumlah purata lima tahun untuk bulan Mac.

PERANGKAAN HDB

Bagi flat-flat HDB pula, jumlah sewa pada Mac naik sebanyak 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Harga sewa bagi flat-flat di estet-estet matang dan belum matang masing-masing naik 0.2 peratus dan 0.8 peratus.

Berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, harga sewa naik sebanyak 3.4 peratus, dengan harga sewa bagi estet-estet matang dan belum matang masing-masing naik sebanyak 2 peratus dan 5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Harga sewa bagi tahun ini berbanding setahun lalu untuk unit tiga bilik, empat bilik, lima bilik dan apartmen eksekutif masing-masing naik 3.1 peratus, 4.5 peratus, 3.1 peratus dan 1 peratus.

Bagi jumlah sewa, sekitar 1,983 flat HDB disewa pada Mac tahun lalu berbanding 1,404 unit pada Februari tahun ini.

Dari tahun ke tahun pula, jumlah sewa merosot sebanyak 7.9 peratus. Perangkaan itu 12.5 peratus lebih rendah daripada jumlah purata lima tahun untuk bulan Mac.

Berdasarkan jenis bilik, pada Mac 2021, 35.2 peratus daripada jumlah sewa keseluruhannya adalah flat empat bilik, 33.8 peratus adalah bagi flat tiga bilik, 25 peratus adalah flat lima bilik dan 6.1 peratus adalah bagi apartmen eksekutif. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan