Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jumlah pengambilan pekerja di S'pura catat kemerosotan terbesar dalam lebih 2 dekad

Singapura mencatatkan kemerosotan terbesar dalam keseluruhanan jumlah pengambilan pekerja dalam masa lebih dua dekad pada 2020, dengan pekerja bukan penduduk merangkumi seluruh kemerosotan itu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (16 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Mar 2021 12:25PM Dikemas Kini : 16 Mar 2021 11:45PM

SINGAPURA: Singapura mencatatkan kemerosotan terbesar dalam keseluruhanan jumlah pengambilan pekerja dalam masa lebih dua dekad pada 2020, dengan pekerja bukan penduduk merangkumi seluruh kemerosotan itu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (16 Mac).

Keseluruhan jumlah pengambilan pekerja, kecuali pekerja pembantu rumah asing, menguncup sebanyak 166,000 pada tahun lalu, menurut Laporan Pasaran Buruh 2020 yang diterbitkan pada Selasa. Jumlah pekerja bukan penduduk yang diambil bekerja pula merosot sebanyak 181,500 pada tahun lalu.

Jumlah pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk iaitu rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura, meningkat sebanyak 14,900 dan pulih ke "kadar lebih tinggi sedikit berbanding tahap sebelum COVID-19" disebabkan oleh peningkatan pada separuh kedua tahun itu.

Trend pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura bercampur-campur bagi sektor-sektor berbeza, dengan penguncupan terbesar berlaku dalam sektor pelancongan dan berkaitan perjalanan udara, yang terjejas teruk oleh sekatan perjalanan dan langkah pengurusan selamat.

Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk juga meningkat dalam beberapa industri termasuk pentadbiran awam dan pendidikan, kesihatan dan khidmat sosial serta khidmat kewangan dan insurans.

Pengambilan pekerja dalam kalangan bukan penduduk merosot bagi kesemua sektor, dengan kebanyakannya dicatatkan dalam sektor binaan dan pengeluaran. Kemerosotan itu didorong oleh pemegang permit kerja dan pas kerja yang lain, menurut MOM, dengan kemerosotan sebanyak 138,800 dicatatkan. Ini disusuli dengan kemerosotan pemegang pas S sebanyak 26,000 dan 16,700 pemegang pas kerja.

Kadar pengangguran secara keseluruhan pula meningkat dari 2.3 peratus pada 2019 kepada 3 peratus pada 2020. Kadar pengangguran penduduk juga meningkat dari 3.1 peratus pada 2019 kepada 4.1 peratus pada 2020, manakala kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Singapura naik dari 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.2 peratus pada 2020.

Meskipun purata kadar pengangguran tahunan meningkat pada 2020 berbanding 2019, ia tidak mencecah paras yang dicatatkan semasa wabak SARS pada 2003 dan krisis kewangan global pada 2009. Dalam dua bulan terakhir pada 2020, kadar pengangguran bulanan mula merosot, menurut MOM.

Jumlah pemberhentian kerja bagi keseluruhan 2020 adalah 26,110 iaitu lebih daripada dua kali ganda jumlah pada 2019, apabila 10,690 pekerja diberhentikan.

Namun, kadar pemberhentian kerja pada 2020 iaitu 12.8 pemberhentian bagi setiap 1,000 pekerja adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun kemelesetan yang lalu yang mencatat purata 22.5 peratus bagi setiap 1,000 pekerja. Ini setelah mengambil kira kenaikan dalam jumlah tenaga kerja sepanjang beberapa tahun.

Kadar pemberhentian kerja pekerja yang merupakan penduduk adalah 11.1 bagi setiap 1,000 pekerja penduduk manakala kadar pekerja bukan penduduk yang diberhentikan kerja adalah 15.7 bagi setiap 1,000 pekerja bukan penduduk.

Secara keseluruhan, kadar kemasukan semula dalam kalangan penduduk diberhentikan kerja pada 2020 adalah 62 peratus, kurang sedikit berbanding 64 peratus pada 2019, meskipun terdapat peningkatan pada suku terakhir tahun lalu, menurut MOM.

Jumlah kerja kosong selepas penyesuaian musiman meningkat kepada 56,500 pada Disember 2020. Kali terakhir ia mencatatkan jumlah yang tinggi adalah pada Mac 2019.

"Antara lain ia mencerminkan langkah bantuan pemerintah bagi menggalakkan pengambilan pekerja," menurut MOM.

Ekonomi Singapura dijangka pulih secara beransur sepanjang tahun ini meskipun rentak pemulihan "kemungkinan berlaku secara tidak rata bagi kesemua sektor", tambahnya.

"Keadaan pasaran buruh kekal tidak menentu meskipun kita melangkah ke 2021 dengan asas lebih stabil berbanding 2020," menurut MOM.

"Pemulihan pasaran buruh mungkin berlaku secara bertahap-tahap dan tidak sama rata bagi kesemua sektor."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan