Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pekerja asing dibenarkan kembali bekerja di S'pura mungkin lebih rendah, kata pakar ekonomi

Ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk para pekerja asing yang berkemahiran kembali ke Singapura dan jumlahnya mungkin lebih rendah berbanding pemulihan masa lalu daripada kemelesetan ekonomi, menurut para pakar ekonomi selepas Laporan Pasaran Buruh 2020 dikeluarkan pada minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pekerja asing dibenarkan kembali bekerja di S'pura mungkin lebih rendah, kata pakar ekonomi

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 11:07AM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 11:10AM

SINGAPURA: Ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk para pekerja asing yang berkemahiran kembali ke Singapura dan jumlahnya mungkin lebih rendah berbanding pemulihan masa lalu daripada kemelesetan ekonomi, menurut para pakar ekonomi selepas Laporan Pasaran Buruh 2020 dikeluarkan pada minggu lalu.

Laporan itu, yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Kerja (MOM), turut mendedahkan bahawa sedang Singapura menyaksikan kegawatan yang paling dahsyat dalam tempoh lebih 20 tahun, para pekerja asing yang menanggung beban pemberhentian pekerja di sini.

Setelah mengalami kegawatan selama berbulan-bulan disebabkan oleh pandemik COVID-19, pekerjaan untuk para penduduk - bagi rakyat Singapura dan penduduk tetap - meningkat sebanyak 14,900 dan "paras itu tinggi sedikit berbanding paras sebelum berlaku COVID-19", menurut MOM.

Ini berbeza dengan kehilangan 181,500 pekerjaan oleh pekerja bukan penduduk pada 2020.

Ketua penyelidikan makro serantau Maybank Kim Eng, Dr Chua Hak Bin, menegaskan bahawa situasi pekerjaan bagi warga asing bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Langkah-langkah ketat bagi mengawal pekerja asing dan sempadan mungkin akan menghambat pengambilan pekerja asing, malah untuk segmen pekerja yang berkemahiran juga. Terdapat elemen struktur, bukan setakat kitaran, sedang dasar-dasar beralih ke arah usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh asing," jelas beliau kepada Mediacorp.

SYARIKAT LEBIH BERHEMAT GAJIKAN PEKERJA

MOM menyatakan bahawa pekerjaan bagi bukan penduduk merosot bagi semua sektor, dengan sebahagian besar dalam binaan dan pengilangan. Tiga suku daripada kemerosotan itu adalah dari pemegang permit kerja dan pas kerja lain, yang secara amnya adalah pekerjaan berkemahiran rendah.

Namun terdapat juga kemerosotan pada tenaga kerja asing yang mahir, dengan penurunan 26,000 pada pemegang Pas S dan 16,700 pemegang EP.

Encik Monty Sujanani, pengurus serantau bagi agensi pengambilan pekerja Robert Walters Singapore berkata bahawa secara amnya, syarikat-syarikat lebih berhati-hati dengan pengambilan pekerja semasa COVID-19.

Beliau menambah bahawa bagi warga asing yang berpangkalan di luar negara, adalah lebih sukar untuk memindahkan mereka ke Singapura, di tengah-tengah sekatan perjalanan dan kawalan sempadan serta perubahan pada syarat-syarat EP dan pas tanggungan.

Pakar ekonomi CIMB Song Seng Wun berkata bahawa pendekatan "campur tangan" Pemerintah begitu ketara semasa kemelesetan ini dan memainkan peranan dalam membantu penduduk tempatan untuk mengekalkan pekerjaan mereka.

Beliau bersetuju bahawa Pemerintah sedang berusaha untuk "mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja asing pasca pandemik. Ia adalah "tindakan yang baik dan seimbang", katanya.

"Kita masih merupakan tempat tinggal dan bekerja yang menarik. Persoalannya, berapa banyak syarikat yang mahu menanggungnya. Jelasnya, kita tidak mahu mencapai satu peringkat di mana syarikat-syarikat perniagaan mendapatinya terlalu mahal dan tidak berbaloi (mengambil pekerja tempatan). Saya tidak rasa kita sudah sampai ke tahap itu."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan