Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jumlah firma S'pura tebar sayap ke luar negara merosot pada 2020

Jumlah perniagaan Singapura yang menebarkan sayap ke luar negara merosot pada tahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19. Namun, lebih banyak syarikat yang memulakan projek untuk meningkatkan daya hasil dan membangunkan keupayaan baru, menurut Enterprise Singapore (ESG) pada Jumaat (5 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Feb 2021 05:33PM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 12:09AM

SINGAPURA: Jumlah perniagaan Singapura yang menebarkan sayap ke luar negara merosot pada tahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19. Namun, lebih banyak syarikat yang memulakan projek untuk meningkatkan daya hasil dan membangunkan keupayaan baru, menurut Enterprise Singapore (ESG) pada Jumaat (5 Feb).

Jumlah perniagaan tempatan ke luar negara merosot 38 peratus kepada 1,600. Keadaan itu dijangkakan memandangkan sekatan perjalanan global, menurut agensi pemerintah itu dalam tinjauan tahunannya.

Antara perniagaan yang terus mengejar usaha pengantarabangsaan, mereka melakukannya dengan cara yang berbeza seperti menyertai pameran perdagangan maya dan acara rangkaian online. Mereka juga memanfaatkan wadah e-dagang untuk memasarkan dan menjual produk dan huraian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif ESG, Png Cheong Boon, memberitahu wartawan bahawa wadah-wadah digital membolehkan perniagaan untuk membangunkan dan mengekalkan kehadiran di pasaran dengan pantas walaupun dengan sekatan perjalanan.

China dan rantau Asia Tenggara kekal sebagai pasaran utama bagi syarikat-syarikat tempatan, tambahnya.

Bercakap kepada para wartawan di sidang media yang sama, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata pandemik COVID-10 menekankan lagi hakikat bahawa pasaran dalam negeri Singapura adalah kecil dan terhad, lantas penting bagi perniagaan untuk menebarkan sayap ke luar negara.

"Meskipun kegiatan pengantarabangsaan menjadi perlahan pada 2020, kami tetap mengekalkan rentak positif dan menyokong 1,600 perusahaan dalam usaha mereka untuk ke luar negara," katanya.

Memandang ke depan, ESG akan terus menyokong syarikat-syarikat untuk merebut peluang baru di pasaran-pasaran utama dan mempererat kerjasama dengan rakan ekonomi melalui inisiatif seperti Geran Bantuan Kesediaan Pasaran yang diperluas, tambahnya.

DAYA HASIL, INOVASI

Laporan ESG juga menunjukkan sekitar 14,800 perniagaan memulakan projek untuk meningkatkan daya penghasilan dan keupayaan. Jumlah itu merupakan satu lonjakan 78 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Projek-projek ini, yang merangkumi bidang seperti automasi, proses dan rekabentuk semula aliran kerja, serta pendigitalan, selaras dengan strategi yang digariskan dalam pelbagai pelan transformasi industri.

Sekitar 600 perniagaan memulakan projek-projek inovasi untuk membangunkan produk dan huraian baru bagi merebut peluang dalam pandemik atau meningkatkan daya saing jangka panjang mereka. Jumlah ini sama dengan 2019, menurut ESG.

Secara keseluruhan, 15,300 perniagaan - dengan sebahagian besarnya dari sektor gaya hidup, perdagangan dan keterhubungan, serta sektor perkhidmatan moden - memulakan projek untuk meningkatkan daya penghasilan dan inovasi, selain usaha mengembangkan perniagaan ke luar negara, pada tahun lalu.

Beberapa perniagaan mendapat sokongan dalam lebih daripada satu bidang, jelas Encik Png.

Secara keseluruhan, projek-projek tersebut diharap dapat menghasilkan nilai tambah sebanyak S$18.4 bilion untuk ekonomi dan menjana 22,200 pekerjaan bagi golongan profesional, pengurusan, eksekutif dan teknikal (PMET), menurut ESG.

Apa yang lebih penting, menurut Encik Chan, terdapat anjakan dalam kalangan pemimpin perniagaan tempatan, dengan lebih ramai yang sedar dunia pasca pandemik amat berbeza sekali.

MENGHARUNGI COVID-19

ESG juga melancarkan beberapa inisiatif untuk membantu syarikat mampu bertahan menangani cabaran segera akibat pandemik COVID-19.

Misalnya, ESG menambah tenaga kerja di pusat panggilannya untuk mengendalikan lonjakan dari segi jumlah pertanyaan perniagaan, terutama dalam tempoh "pemutus rantaian jangkitan" dan fasa-fasa pembukaan semula ekonomi berikutnya.

Secara keseluruhan, pihaknya mengendalikan lebih 200,000 panggilan serta emel berhubung pertanyaan berkaitan COVID-19 tahun lalu, empat kali ganda berbanding 2019.

Untuk membantu perniagaan mengatasi masalah dan gangguan aliran tunai, ESG memberi tumpuan kepada dua bidang - memastikan akses kepada pembiayaan dan mempercepat pendigitalan.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan