Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jumain Sataysfaction antara 15 SME S'pura sertai pameran Ekspo Dunia Dubai 2020

Jenama-jenama Singapura yang menyertai Ekspo Dunia Dubai berharap pendedahan di pentas global itu akan memacu pengembangan niaga masing-masing. Ekspo itu akan mula dibuka pada Jumaat ini (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jenama-jenama Singapura yang menyertai Ekspo Dunia Dubai berharap pendedahan di pentas global itu akan memacu pengembangan niaga masing-masing. Ekspo itu akan mula dibuka pada Jumaat ini (1 Okt).

Kesemuanya 15 perusahaan kecil dan sederhana (SME) bakal ditampilkan di Astaka Singapura. Dalam kalangan SME tersebut ialah syarikat sate terkemuka tempatan, Jumain Sataysfaction.

Sudah lebih 10 tahun syarikat itu mengeksport sate ke negara-negara Timur Tengah.

Ini model perniagaan yang dilaksanakannya untuk pasaran Timur Tengah: Sate-satenya dicucuk di kilangnya di Singapura. Ia kemudian dibekukan dan selepas itu diterbangkan ke luar negara termasuk Dubai bagi memenuhi permintaan hotel-hotel lima bintang di sana.

Malangnya, pandemik COVID-19 sekarang mengganggu pengembangan perniagaan syarikat itu dalam pasaran antarabangsa.

"Satu cabaran terbesar adalah kos penghantaran. Ia naik buat masa ini tiga kali lebih tinggi. Pernah tahun lepas ia naik ke paras sangat tinggi. Bayangkan hampir S$15,000 untuk kiriman dari Singapura ke Dubai bagi kontena sejuk beku," kata Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction, Cik Samsiah Suliman.

Kini huraian yang sedang dipertimbangkan adalah membangunkan kemudahan di Arab Saudi di mana sate syarikat ini dapat dihasilkan dari sana.

"Satu jalan keluar adalah mengubah strategi kami, (iaitu) dengan melakukan pemindahan teknologi. Kami masih dalam perbincangan dengan rakan-rakan potensi di Saudi bagi penubuhan kemudahan di sana," kongsi Cik Samsiah. Beliau bagaimanapun belum dapat berkongsi sebarang garis masa bagi rancangan ini.

Sungguhpun demikian, perniagaan keluarga yang berusia lebih 110 tahun itu, berharap model baru itu dapat digerakkan di negara-negara lain menerusi pendedahan di ekspo Dubai nanti.

"Kita berasa sangat optimistik tentang perkara ini terutamanya kerana Dubai telah dibuka buat pelancongan dan mereka menjangkakan akan menyambut lebih 1 juta pengunjung dari pelbagai negara untuk expo ini sahaja.

"Jadi ia peluang untuk mempamerkan produk kami, untuk membolehkan pelanggan antarabangsa merasakan keaslian sate dan kuah sate, mempamerkan warisan dan budaya kita," tambah Cik Samsiah.

Jumain Sataysfaction antara lain dipilih menyertai rombongan Singapura di Dubai kerana ia berusaha menjadi mesra alam, iaitu pembungkusannya tidak banyak menggunakan plastik.

Astaka Singapura di Ekspo Dunia Dubai.

Itulah satu ciri yang ingin Singapura tampilkan di astakanya di ekspo itu yang bertemakan kemampanan alam sekitar.

Selain Jumain Sataysfaction, ada enam lagi syarikat makanan dan minuman tempatan yang membawa bendera Singapura di Dubai.

Lapan SME lain turut terdiri daripada perusahaan sosial The Art Faculty yang menjual hasil sentuhan kreatif golongan autistik, serta Wellie Batik yang sudah bertahan lebih 40 tahun di Pusat Beli-Belah Holland Road.

(Gambar: The Art Faculty/Facebook) 

Bagi The Art Faculty, ini merupakan kali pertama ia cuba menyerantau ke pentas antarabangsa dan berharap dapat mencari rakan untuk membolehkannya berkembang.

Pengarah Eksekutifnya Jacelyn Lim berkata aspirasi pertubuhannya ialah mahu menjadi sebuah pasaran global yang memadankan bakat-bakat kelainan upaya dengan produk-produk bermutu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan