Images
  • pembeli rumah privet
    Penjualan rumah privet (Gambar: Mediacorp)

Jualan rumah privet baru melonjak 47% pada Mac

SINGAPURA: Penjualan rumah privet setempat melonjak 47.2 peratus pada Mac berbanding setahun lalu ekoran pelancaran pelbagai projek oleh pihak pemaju selepas musim perayaan Tahun Baru Cina, yang menawarkan banyak pilihan bagi pembeli.

Para pemaju menjual 1,054 unit, tidak termasuk kondominium eksekutif, pada Mac berbanding 716 rumah pada Mac tahun lalu, menurut perangkaan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (15 Apr).

Penjualan pada Mac juga naik lebih seganda berbanding 455 unit yang dijual pada Februari.

Menurut firma hartanah JLL, 10 projek rumah privet dan 1,812 unit dilancarkan untuk penjualan pada bulan lalu. Ini berbanding 614 unit yang dilancarkan Mac tahun lalu dan 596 pada Februari.

Dengan lebih banyak projek dilancarkan pihak pemaju, para pembeli ditawarkan pilihan yang banyak, menurut pegawai eksekutif ERA Realty Network Eugene Lim.

PASARAN MEWAH NAMPAK POSITIF

Sentimen pembeli ternyata positif bagi pasaran ultra mewah pada bulan lalu.

Dua daripada 10 projek yang dilancarkan bulan lalu terletak di daerah pusat utama, dengan harga median penjualan sebanyak S$2,549 dan S$3,613 bagi setiap kaki persegi (psf).

25 rumah privet baru dijual pada harga melebihi S$5 juta bulan lalu, jumlah tertinggi dicatat dalam tempoh sebulan sejak Disember 2013, menurut ketua penyelidikan dan rundingan OrangeTree, Christine Sun.

Unit paling mahal dijual pada Mac adalah rumah sebesar 528 meter persegi di Boulevard 88, yang dibeli pada harga S$28 juta. Dengan harga S$4,927 setiap kaki persegi, ia merupakan harga tertinggi bagi setiap kaki persegi bagi sebuah unit baru sejak Jun 2013, menurut Cik Sun.

PEMBELI KEKAL SENSITIF PADA HARGA

Meskipun terdapat minat yang kuat di kalangan pembeli mewah, majoriti pembeli masih kekal peka pada harga, dengan 79 peratus membeli rumah pada harga S$1.5 juta ke bawah bulan lalu, menurut Encik Lim.

Pengarah kanan penyelidikan dan rundingan JLL, Ong Teck Hui, memberi amaran bahawa lonjakan pada jumlah pelancaran pada Mac mungkin berlebihan berbanding apa yang boleh ditampung pasaran.

"Pihak pemaju tidak sabar melancarkan projek selepas musim perayaan namun lonjakan pada pelancaran ini adalah jauh berlebihan berbanding apa yang boleh ditampung pasaran. Meskipun 1,054 unit dijual, kadar penjualan 58.2 peratus membayangkan jurang antara bekalan dan permintaan," tambah beliau.

Encik Ong menambah bahawa meskipun langkah-langkah menyejukkan pasaran hartanah Julai lalu serta pasaran mencabar, projek-projek yang dijual pada harga wajar lebih berkemungkinan untuk laris.

- CNA/TQ/tq

Top