Images
  • private house
    Apartmen perumahan privet di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Jualan rumah privet baru junam 30% pada April

SINAGPURA: Penjualan rumah privet oleh para pemaju hartanah menjunam 30.2 peratus pada April berbanding bulan sebelumnya, ekoran penurunan mendadak dalam bilangan unit yang dilancarkan.

Tidak termasuk kondominium eksekutif, pemaju hartanah di Singapura menjual 735 unit pada bulan lalu, berbanding 1,054 pada Mac. Demikian menurut perangkaan yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Rabu (15 Mei).

Jumlah unit yang dilancarkan turun mendadak sebanyak 75.5 peratus, dengan hanya 444 unit terjual pada April, berbanding 1,812 pada bulan sebelumnya.

Penjualan rumah dari tahun ke tahun naik sedikit yakni 0.3 peratus.

PENJUALAN "MEMBERANGSANGKAN" DI PELANCARAN UNIT SEDIA ADA

Pada April, terdapat hanya tiga pelancaran unit baru - Mayfair Modern, Coastline Residences dan Wilshire Residences - kesemuanya projek berskala kecil hingga sederhana.

Para penganalisis menarik perhatian kebanyakan urus niaga bulan lalu adalah daripada pelancaran unit sedia ada seperti projek-projek paling laris - The Tre Ver di Potong Pasir dan Parc Botannia di Sengkang.

Biarpun terdapat hanya sedikit sahaja pelancaran unit baru, para pengamat berkata penjualan kekal memberangsangkan.

Dengan sekurang-kurangnya tiga projek dilancarkan pada minggu pertama Mei dan lebih banyak lagi pada masa-masa mendatang, Colliers International menjangkakan penjualan kekal "agak sihat" dalam bulan-bulan akan datang.

Harga hartanah juga mungkin akan lebih stabil pada separuh kedua tahun ini.

"Kami menganggarkan harga rumah privet keseluruhan dapat stabil pada separuh kedua 2019, naik 1 peratus bagi seluruh tahun 2019," kata Tricia Song, Ketua Penyelidikan bagi Singapura di Colliers International.

"Faktor-faktor sokongan yang mungkin dapat mengekalkan harga pada suku mendatang termasuklah pemberhentian dalam peningkatan kadar faedah, pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan penjual en bloc yang membeli rumah gantian." 

- CNA/FZ/fz

Top