Images
  • private houses
    Gambar fail rumah privet di Singapura. (Gambar: TODAY)

Jualan rumah privet baru di S'pura lonjak 82.2% pada Julai meski langkah COVID-19 diperketat

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura melambung 82.2 peratus pada Julai, bangkit semula setelah mencatat kemerosotan tiga bulan berturut-turut. Prestasi lebih baik itu dilaporkan ketika pembeli kembali ke pasaran privet "berbondong-bondong" meskipun langkah COVID-19 diperketat.

Tidak termasuk kondominium eksekutif, pemaju menjual 1,589 unit pada Julai berbanding 872 unit pada Jun, menurut perangkaan yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (16 Ogos).

Ini menjadikan penjualan pada Julai kedua tertinggi tahun ini, setelah 1,633 rumah dijual pada Januari.

Pembangunan pinggir bandar paling laris pada Julai, dengan pemaju menjual 1,012 unit di kawasan luar pusat bandar (OCR), diikuti dengan 438 unit di baki kawasan bandar (RCR), manakala bahagian tengah pusat bandar (CCR) pula sebanyak 139 unit.

PEMBELI TAKUT HARGA TERUS MENINGKAT

Menurut penganalisis permintaan kukuh pada Julai didorong pelbagai faktor, termasuk pemaju yang ingin menyelesaikan seberapa banyak penjualan menjelang bulan 'Hungry Ghost Festival', serta pembeli yang takut "harga terus meningkat hingga di luar kemampuan".

Ini meskipun langkah sekatan COVID-19 diperketat sejak 22 Julai.

"Langkah-langkah yang diperketat nampaknya tidak melunturkan sentimen pasaran dengan ketara," kata Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik OrangeTee & Tie.

Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty, Ismail Gafoor pula berkata, firma itu yakin bahawa "kerancakan" pasaran disebabkan oleh harga bidaan dalam pusingan tender Penjualan Tanah Pemerintah baru-baru ini.

"Khabar mengenai harga tanah yang agresif meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa harga pelancaran pada masa akan datang mungkin terus meningkat," jelas Encik Gafoor.

"Sejumlah besar pelabur dan pembeli, (yang) sedang menunggu kesempatan yang tepat, memutuskan untuk memasuki pasaran pada Julai, dengan jangkaan kemungkinan harga naik pada masa depan."

BEKALAN RUMAH PRIVET

Pemaju melancarkan 1,104 unit pada Julai.

Bekalan rumah tidak terjual telah merosot selama sembilan suku berturut-turut mencecah 19,409 unit pada suku kedua 2021 - rekod terendah sejak suku keempat 2017, kata Encik Wong Xian Yang, ketua penyelidikan Cushman & Wakefield bagi Singapura.

Tanpa langkah penyejukan baru, jumlah penjualan rumah privet baru dijangka menjangkaui 11,000 unit menjelang hujung tahun ini, mencapai rekod penjualan tahunan tertinggi sejak 2013, tambahnya.

- CNA/TQ/tq

Top