Images
  • bazar kita
    Lelaman Bazaar Kita, sebuah acara bazar Ramadan online yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bersama Wisma Geylang Serai (WGS).

Jualan 'Bazaar Kita' cecah $600,000 bagi edisi Ramadan pertama

SINGAPURA: Acara bazar Ramadan online "Bazaar Kita" yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Wisma Geylang Serai (WGS) mencatat nilai penjualan melebihi S$600,000.

Wadah e-dagang itu yang dilancarkan pada 1 April, juga mendapat lebih 10,000 transaksi.

Jumlah transaksi tersebut sebahagian besarnya datang daripada tiga kategori teratas dalam kempen Ramadan itu
- Makanan Panas (41% jumlah peniaga), Makanan Ringan (34%) dan Gaya Hidup (10.5%).

Berlainan daripada wadah-wadah bazar Ramadan yang lebih tradisional, inisiatif yang pertama seumpamanya itu turut bekerjasama dengan syarikat e-dagang seperti Shopee, GrabMart dan wadah tempatan, Bungkus demi memenuhi permintaan masyarakat Melayu/Islam sepanjang bulan Ramadan lepas.

Menerusi "Bazaar Kita" para pelanggan dapat memilih pelbagai kuih-muih Hari Raya, malah juga barangan keperluan dapur.

BAZAAR KITA - INISIATIF BERJAYA

Bazaar Kita antaranya bertujuan mengembangkan dan memperdalam pengetahuan digital para peniaga agar mereka lebih bersedia menghadapi perubahan landskap runcit yang kian berkembang.

Sejak dilancarkan pada 1 April lalu, kira-kira dua minggu sebelum bulan Ramadan menyambut umat Islam, portal Bazaar Kita mendapat penyertaan lebih 120 peniaga, termasuk 54 yang mewakili pendaftaran baru kepada pelbagai rakan kerja teknologi.

DPPMS bekerjasama rapat dengan para peniaga tersebut dalam memberikan bantuan termasuk dalam membuka dan mempromosikan kedai maya mereka.

Selama lebih sebulan, kempen Bazaar Kita menerima lebih 25,000 tontonan, dengan sebahagian besar daripadanya adalah golongan masyarakat berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Golongan tersebut mewakili generasi pengguna digital yang selesa dengan perniagaan online.

Tambahan lagi, Bazaar Kita juga berjaya menyediakan para peniaga yang terlibat dengan pemasaran yang mendalam, termasuk lebih 110 kandungan yang direka di wadah media sosial.

Kejayaan yang dikecapi WGS dan DPPMS turut dialu-alukan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim. Beliau yang juga Penasihat Utama bagi WGS berkata bahawa kempen Bazaar Kita melepasi segala jangkaannya.

"Dengan pengetahuan dan kemahiran baru, saya harap para peniaga akan memanfaatkan digitalisasi untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Sebagai nadi masyarakat Melayu, WGS selalu mencari kerjasama yang bermakna agar kita dapat menyokong masyarakat dengan lebih baik," katanya menerusi kenyataan DPPMS itu.

Presiden DPPMS, Encik Farid Khan pula berkata bahawa inisiatif Bazaar Kita berjaya membantu para peniaga ketika mereka mengharungi waktu yang penuh ketidaktentuan.

"Pada masa yang tidak menentu bagi perniagaan-perniagaan, wadah seperti Bazaar Kita berfungsi sebagai peluang baru untuk penjualan serta peluang untuk memanfaatkan pertumbuhan perniagaan. Di samping itu, kerjasama dengan platform e-dagang terkenal, perniagaan yang belum meneroka dunia digital dapat melakukannya dengan mudah menerusi Bazaar Kita," jelas Encik Farid.

PENIAGA DAN PELANGGAN SAMBUT BAIK

Berkongsi pengalaman tentang inisiatif Bazaar Kita, syarikat portal makanan sehenti, Bungkus menyatakan ia berbesar hati dengan sambutan yang diterima Bazaar Kita daripada para pengguna dan peniaga sepanjang ia dijalankan.

Ketua Penghantaran bagi Syarikat Grab Singapore, Encik Ngiam Xin Wei pula menambah: "Bazaar Kita menambah lagi kepada senarai keperluan luas yang kita ada, termasuk makanan ringan, keperluan dapur, daging beku serta keperluan memasak. Kami kekal komited untuk menyediakan para pelanggan dengan lebih banyak pilihan di GrabFood dan GrabMart."

Kejayaan Bazaar Kita juga tidak mungkin tercapai tanpa sokongan kuat oleh para peniaga yang bekerjasama dengan DPPMS dan rakan teknologi sepanjang kempen tersebut.

Cik Liza Zakaria, pemilik syarikat katering Vintage Tree berkata bahawa DPPMS dan pasukan Bungkus menyediakan latihan dan sokongan yang mencukupi dari permulaanya. Itu menurutnya lagi amat berguna kerana ibu bapa saya juga tidak begitu celik dengan wadah digital.

"Bazaar Kita membantu dalam mewujudkan pengalaman runcit yang lebih cepat dan kurang leceh bagi para pelanggan dan peniaga," tambah pemilik kedai pakaian, Bayan Singapore, Cik Siti Nor Hydayah.

"Ia juga meningkatkan kesedaran jenama kita serta memberikan kita peluang untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan pengikut."

Kedai Bayan Singapore menyaksikan bilangan pelanggannya meningkat lebih 200 orang dalam masa empat minggu semasa penyertaannya dalam Bazaar Kita.

Selain syarikat katering dan pakaian, kedai-kedai makanan juga mendapat pengalaman baik semasa menyertai Bazaar Kita.

Misalnya, bagi Cik Nena Rappa, pemilik kedai MadebyRappa yang menjual kuih-muih Hari Raya, dia menerima tempahan setiap hari sejak menyertai wadah Shopee.

"Dengan kejayaan yang Bazaar Kita sudah berikan kepada perniagaan saya serta perniagaan dari rumah yang lain, saya berharap bahawa trend bazar online akan diteruskan menjangkaui Hari Raya," luah Cik Nena. 

- BERITAmediacorp/fz

Top