Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jualan 11.11 dijangka pecah rekod sekali lagi tapi pembeli mungkin lambat terima bungkusan

Dalam menjangkakan satu lagi jualan Single's Sales yang pecah rekod, pemain e-dagang dan logistik sudah meningkatkan bekalan tenaga kerja, membuka gudang baru serta memperoleh ruang kargo tambahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan 11.11 dijangka pecah rekod sekali lagi tapi pembeli mungkin lambat terima bungkusan

Gambar fail seseorang membeli-belah online. (Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 12:31PM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 12:33PM

SINGAPURA: Dalam menjangkakan satu lagi jualan Single's Sales yang pecah rekod, pemain e-dagang dan logistik sudah meningkatkan bekalan tenaga kerja, membuka gudang baru serta memperoleh ruang kargo tambahan.

Namun, mereka juga memberi amaran, pembeli mungkin masih menyaksikan kelengahan bagi pesanan online mereka tahun ini dek faktor-faktor seperti kesesakan disebabkan oleh pandemik dalam rantaian bekalan sejagat.

Jualan Singles’ Day, diadakan pada 11 November setiap tahun, bermula sebagai cuti beli-belah online terbesar di China sebelum ia mendapat tarikan di seluruh dunia termasuk Singapura.

Data yang dianalisis oleh firma pengiklanan Criteo menunjukkan penjualan runcit Singapura untuk jualan besar-besaran tahunan itu melonjak hampir 350 peratus dalam sehari pada tahun lalu walaupun diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

11.11 AKAN PECAH REKOD SEKALI LAGI

Syarikat yang dihubungi Mediacorp menjangkakan penjualan pecah rekod sekali lagi tahun ini dengan tabiat membeli-belah online kian berakar umbi dalam kalangan pembeli.

“Kegiatan e-dagang meningkat sejak awal 2020 dan kami sudah menyaksikan permintaan meningkat bagi penjualan sepanjang 20 bulan lalu kerana ramai orang mendakap dan membiasakan diri dengan tabiat membeli-belah yang baru," menurut firma e-dagang Lazada.

“Selagi anda terus membuat tawaran menarik, saya pasti pelanggan akan terus berbelanja," kata Ketua Ninja Van bagi Singapura, Ray Chou.

Lantaran itu, firma logistik tersebut bersiap sedia untuk menangani jumlah bungkusan yang dijangka meningkat sebanyak tiga kali lebih banyak berbanding tahun lalu, "antara 200,000 hingga 300,000" penghantaran sehari.

Pemain logistik yang lain juga berkongsi jangkaan yang sama.

J&T Express Singapore sudah menyaksikan pertumbuhan dua angka pada jualan Single's Day sepanjang dua tahun lalu dan tahun ini "tidak akan berbeza", kata Ketua Pegawai Eksekutif Andrew Sim.

Di UrbanFox, penghantaran bungkusan semasa tempoh penjualan itu pada masa lalu melonjak sehingga "tiga ke empat kali lebih banyak daripada perniagaan pada hari biasa".

Tahun ini, firma itu "menjangkakan jumlah jualan jauh lebih tinggi berbanding biasa" kerana bilangan pembeli online terus meningkat dan lebih banyak jenama membuat penampilan di wadah digital serta penghantaran di tengah-tengah pandemik, kata Pengarah Urusan Joe Choa.

LEBIH BANYAK PENIAGA, LEBIH TINGGI KAPASITI

Lazada menyatakan ia sudah membuat persiapan bagi jualan 11.11 sejak awal tahun ini. Ini termasuk bekerjasama dengan rakan kongsi penghantaran beberapa bulan lebih awal untuk memastikan ia mempunyai kapasiti secukupnya untuk menguruskan lonjakan yang dijangkakan dalam jumlah pesanan.

Berbanding tahun lalu, jumlah jenama di wadah pasaran LazMall meningkat sebanyak 40 peratus. Terdapat juga 40 peratus lebih ramai penjual tempatan yang mengambil bahagian dalam jualan tahun ini.

Wadah e-dagang Shopee juga menyaksikan jumlah peniaga peserta naik seganda tahun ini, kata Ketua Pemasaran Chua Cheng Xun.

Sebagai persiapan bagi "permintaan kukuh" yang dijangkakan bagi jualan terbesarnya itu tahun ini, Shopee sudah meningkatkan bekalan tenaga manusia di seluruh syarikatnya. Ini di samping bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi jenama dan khidmat penghantaran untuk memastikan pesanan dipenuhi dengan berkesan.

Alibaba Group, yang menyelia wadah-wadah popular seperti Taobao dan Tmall, menarik perhatian ia sudah membangunkan produk serta khidmat baru sedang kemahiran dan selera e-dagang pengguna terus meningkat.

Konglomerat China itu mengakui bahawa pandemik mewujudkan cabaran di bahagian logistik dan rantaian bekalan, namun katanya cabaran itu akan ditangani melalui cabang logistik Cainiao Network.

Cainiao menyediakan bekalan stok awal lebih 300 juta barang dari 87 negara dan rantau di gudang-gudangnya di seluruh China untuk membantu peniaga mengelakkan kelengahan dalam penghantaran.

Ia juga telah memperoleh ruang kargo tambahan dalam lebih 1,350 penerbangan, 1,170 kontena bagi 210 perjalanan pengangkutan laut dan 150 trak untuk penghantaran ke Asia Utara dan Asia Tenggara, termasuk Singapura.

Cainiao menyatakan keupayaan pengurusan bungkusannya di Singapura dijangka meningkat kepada sekitar 42 tan, atau sekitar 600 barangan besar, sehari.

Begitu juga untuk UrbanFox, yang "terus mengembangkan" pangkalan rakan kongsi penghantaran penyumberan luarnya untuk menguruskan lonjakan pada permintaan penghantaran semasa pesta membeli-belah. Firma itu, yang merupakan anak syarikat Keppel Logistics menyatakan ia mula menyediakan operasi gudangnya pada Jun.

Bagi Ninja Van, perancangan untuk jualan tahunan Singles' Day bermula setahun yang lalu ketika ia memutuskan untuk meningkatkan pelaburan dalam automasi bagi menangani masalah tenaga kerja dalam industri itu.

Syarikat itu mendedahkan "sorotan perancangannya" hampir dua minggu lalu - gudang kedua dan yang terbesarnya di Yio Chu Kang.

Kemudahan baru seluas 80,000 kaki persegi itu dilengkapi dengan jalur penyusunan automatik yang boleh mengendalikan tiga kali lebih banyak bungkusan setiap jam pada kadar ketepatan 99.9 peratus, kata Encik Chou.

J&T Express juga sudah mengemas kini sistem penyusunan bungkusan automatik syarikat itu dan meluaskan rangkaian gudangnya dengan pusat pengendalian tempahan yang baru di Singapura, berukuran 82,000 kaki persegi.

Ia juga melancarkan fasa pertama "tempat J&T" yang membolehkan peniaga meninggalkan bungkusan mereka dan menjejaki bungkusan itu pada masa nyata.

KELENGAHAN TIDAK BOLEH DIELAKKAN

Sekalipun begitu, J&T Express menyatakan "sebilangan kecil" penghantaran mungkin tetap menyaksikan kelengahan "beberapa hari" disebabkan lonjakan pada jumlah pesanan dan beberapa faktor lain.

Ini termasuk "situasi tidak dijangka" seperti keadaan cuaca, lalu lintas dan perkembangan pandemik, kata Encik Sim.

Gangguan rantaian bekalan yang berterusan di seluruh dunia mungkin juga menyumbang kepada kelengahan penghantaran meskipun kesannya sudah agak berkurangan, tambah beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan