Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jetstar Asia rancang sambung penerbangan S'pura- Darwin pada Disember

Jetstar Asia merancang untuk menyambung semula penerbangan antara Singapura dengan Darwin pada pertengahan Disember, bergantung pada pembukaan koridor perjalanan antara Singapura dengan Australia. Demikian diumumkan syarikat penerbangan itu pada Selasa (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar Asia rancang sambung penerbangan S'pura- Darwin pada Disember

Gambar fail pesawat Jetstar dipetik pada Mei 2014 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 04:34PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 04:35PM

SINGAPURA: Jetstar Asia merancang untuk menyambung semula penerbangan antara Singapura dengan Darwin pada pertengahan Disember, bergantung pada pembukaan koridor perjalanan antara Singapura dengan Australia. Demikian diumumkan syarikat penerbangan itu pada Selasa (28 Sep).

Jetstar Asia menyatakan tarikh mula perkhidmatan itu adalah berdasarkan garis masa yang ditetapkan pemerintah Australia, yang menunjukkan bahawa negara itu akan menyambung semula perjalanan antarabangsa sebelum hujung tahun ini.

"Lantaran itu, kami perlu merancang lebih awal bagi proses memulakan semula yang agak rumit ini untuk memastikan kami bersedia sebaik sahaja sempadan dibuka," kata jurucakap Jetstar Asia.

"Sekiranya keadaan berubah, kami tentu sekali boleh mengemas kini rancangan ini tetapi memandangkan kejayaan pelancaran program vaksin Singapura, dan Australia sedang hampir mencapai sasaran 80 peratus dalam masa beberapa minggu lagi, kami yakin ini boleh dicapai."

Lebih 52 peratus penduduk Australia berusia 16 tahun dan ke atas sudah menerima "vaksin dua kali", menurut laman Jabatan Kesihatan Australia. Sekitar 82 peratus penduduk Singapura sudah selesai rejimen vaksinasi mereka atau menerima dua dos vaksin COVID-19.

Tiga perkhidmatan setiap minggu antara Singapura dengan Darwin disediakan mulai 20 Disember dan tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia dan pemerintah, kata Jetstar Asia.

LEBIH BANYAK PENERBANGAN KE AUSTRALIA PADA 2022 SELAIN DARWIN

Pengumuman itu menyusuli rancangan Qantas Group, yang merangkumi Jetstar Airways, untuk menyambung perkhidmatan antara Melbourne dengan Singapura mulai 19 Disember, yang juga bergantung kepada kelulusan pemerintah dan badan kawal selia.

Pada Ogos, Qantas mengumumkan mulai pertengahan Disember, penerbangan akan bermula dari Australia ke "destinasi-destinasi selamat dari COVID", yang mungkin termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, dan Kanada.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia Bara Pasupathi berkata akan ada laluan tambahan ke Australia yang dirancang bagi 2022 selepas Darwin.

"Kami akan kekal fleksibel, tetapi berdasarkan rentak pelancaran program vaksin, kami ingin memastikan kami bersedia untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan dan memberikan pelanggan kami destinasi yang lebih menarik, seperti Top-End (bahagian utara Australia) yang sentiasa popular, secepat mungkin."

Jetstar Asia menyatakan pelanggan yang menempah di jetstar.com sebelum 31 Disember bagi perjalanan sebelum 30 Jun 2023, akan diberi satu "pertukaran tarikh tanpa bayaran", walaupun perbezaan harga tambang mungkin dikenakan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan