Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jetstar Asia potong 26% pekerjaan, lanjutkan tempoh cuti pekerja di bawah pelan pemulihan COVID-19

Syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Singapura Jetstar Asia akan memotong sehingga 180 pekerjaan yakni sekitar 26 peratus daripada tenaga kerjanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar Asia potong 26% pekerjaan, lanjutkan tempoh cuti pekerja di bawah pelan pemulihan COVID-19

Pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 25 Jun 2020 05:22PM Dikemas Kini : 25 Jun 2020 05:31PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Singapura Jetstar Asia akan memotong sehingga 180 pekerjaan yakni sekitar 26 peratus daripada tenaga kerjanya - dan mengarah sebilangan besar kakitangannya supaya melanjutkan tempoh cuti mereka sehingga Disember sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia Bara Pasupathi berkata pada Khamis (25 Jun) bahawa penularan COVID-19 "memberikan satu kejutan terbesar" kepada industri penerbangan dan syarikat itu perlu membuat "keputusan yang benar-benar sukar".

Langkah itu dibuat setelah syarikat induk Qantas Group mengumumkan ia akan memberhentikan sekurang-kurangnya 20 peratus tenaga kerjanya dan menggantung khidmat 100 pesawat bagi sekurang-kurangnya setahun sebagai sebahagian usaha mengurangkan kos sebanyak AS$10 bilion (S$13.9 bilion). Separuh daripada kakitangan kumpulan syarikat Australia yang terdiri daripada 29,000 pekerja itu akan terus diberikan cuti selama beberapa bulan sebagai sebahagian daripada usaha itu.

Perkhidmatan Jetstar digantung pada 23 Mac lalu, selepas pandemik COVID-19 memaksa negara-negara di seluruh dunia untuk menyekat sempadan negara dan khidmat penerbangan antarabangsa.

Khidmat penerbangan yang terhad ke Manila dan Kuala Lumpur untuk membawa pulang rakyat dan penduduk tetap negara itu atau mereka yang mempunyai kelulusan bertulis untuk melakukan penerbangan dikendalikan semula sejak 21 Apr. Penerbangan kargo juga beroperasi semula di Bangkok.

Pada Khamis (25 Jun), Jetstar Asia menyatakan semua bahagian syarikat akan terjejas oleh potongan pekerjaan itu. Ia juga akan mengurangkan jumlah pesawat Airbus A320 sebanyak lima menjadikan 13.

Menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung jumlah pekerjaan yang akan dikurangkan di Singapura, seorang jurucakap Jetstar Asia berkata sebahagian besar tenaga kerjanya merupakan rakyat Singapura dan ia belum lagi selesai menjalankan proses pengurangan tenaga kerja.

"Kami tidak dapat mendedahkan maklumat ini namun kami komited memberi sokongan kepada semua pekerja semasa tempoh peralihan ini," kata jurucakap itu lagi.

Encik Pasupathi memberi amaran pasaran penerbangan akan menjadi "sangat berbeza" di masa hadapan.

Menurutnya, pengurangan pekerjaan, cuti pekerja dan mengurangkan sebanyak lima pesawat adalah keputusan yang "amat sukar" namun dapat membantu memastikan syarikat itu bersedia menjalani pemulihan apabila permintaan bagi penerbangan antarabangsa meningkat semula.

"Singapura dan Lapangan Terbang Changi kekal sebagai jejak strategik bagi Jetstar Asia dan Kumpulan Qantas dan kami berharap dapat melihat jumlah penumpang meningkat lagi menerusi inovasi dan membaiki lagi pengalaman penumpang di masa hadapan," katanya.

Encik Pasupathi juga mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Singapura kerana bertindak "pantas dan tegas" untuk menyokong industri penerbangan.

"Inisiatif belanjawan yang besar, termasuk Skim Bantuan Pekerjaan yang dipertingkat bagi sektor penerbangan dan sokongan bagi kakitangan kami sekarang serta sokongan menerusi peluang pekerjaan kedua bagi tenaga kerja kami , membolehkan kami mengharungi situasi ini dengan lebih baik," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan