Images
  • China-belt-road
    (Gambar: Agensi berita)

Jaluran Ekonomi Laluan Sutera dijangka pacu pertumbuhan sektor perbankan Islam

AGENSI BERITA: Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera (BRI) yang membentuk sebahagian visi globalisasi China mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan ekonomi dengan tumpuan besar kepada negara-negara di Timur Tengah. Projek mega China itu dijangka memacu pertumbuhan lanjut sektor kewangan Islam serata dunia.

Lebih khusus lagi, inisiatif BRI, yang menjangkaui 100 negara, dijulang sebagai pemacu sektor perbankan Islam, menurut laporan CNBC baru-baru ini.

Projek tersebut memerlukan pelaburan besar bagi membiayai pembinaan rangkaian koridor darat dan maritim merentasi Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

CNBC melaporkan ketua kewangan Islam S&P Global Ratings Mohamed Damak sebagai berkata bahawa "sebahagian projek (BRI) akan merentasi negara-negara utama kewangan Islam, lantaran itu mungkin dibiaya dengan cara yang mematuhi Syariah".

Banyak negara-negara sepanjang BRI mempunyai penduduk majoriti Muslim.

Menurut kiraan Thomson Reuters nilai pasaran kewangan Islam akan tumbuh menjadi AS$3.8 trilion (S$5.27 trilion) menjelang 2022 - satu lonjakan berbanding AS$2.2 trilion (S$3.05 trilion) pada 2016.

Menurut laporan CNBC lagi, sektor kewangan Islam menunjukkan potensi di luar negara-negara Islam kerana pertubuhan kini semakin mengutamakan matlamat yang mampan. Piawai sedemikian juga sejajar dengan prinsip pelaburan Islam.

POTENSI DI TIMUR TENGAH

Sesetengah pihak di Timur Tengah sudah mula sedar potensi tersebut.

"Jaluran Ekonomi Laluan Sutera menyokong pembangunan prasarana dan pertumbuhan ekonomi," kata Adnan Chilwan, ketua eksekutif Bank Islam Dubai seperti dilaporkan akhbar Amiriah Arab Bersatu, The National.

CEO Etihad Credit Insurance Massimo Falcioni, pula dilaporkan sebagai berkata bahawa BRI akan menjadi "amat penting" bagi sektor kewangan Islam dan merangsang lagi perdagangan halal.

Dalam pada itu, China sudah menunjukkan tanda-tanda minat dalam sektor tersebut. Bank Pelaburan Prasarana Asia yang berpangkalan di China memeterai satu memorandum persefahaman dengan Bank Pembangunan Islam yang didukung Arab Saudi untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan kewangan Islam.

CABARAN KEWANGAN ISLAM

Di sebalik nada positif yang dilahirkan para pengamat berhubung potensi kewangan Islam, salah satu produknya yang paling popular yakni sukuk - sebenarnya merosot pada 2018.

Menurut Encik Damak, ini disebabkan mata wang lira Turki yang melemah pada 2018 dan pertumbuhan perlahan sesetengah bank di UAE dan Qatar.

- Agensi berita/TQ/ha

Top