Images
  • chan chun sing (2)
     Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing semasa berucap di acara IBM Think Singapore. (Gambar: IBM Singapore/Facebook)

Integrasi, inovasi penting untuk syarikat dan negara terus maju, kata Chan Chun Sing

SINGAPURA: 'Integrasi' dan 'inovasi' - inilah dua perkataan yang ditekankan oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing sebagai keperluan utama untuk negara-negara seperti Singapura dan syarikat-syarikat seperti IBM terus berkembang maju.

Semasa berucap di acara IBM Think Singapore hari ini (14 Ogos), Encik Chan menarik perhatian bahawa dunia sedang berdepan dengan "cabaran besar" kerana banyak negara tidak percaya kepada integrasi atau penyepaduan.

Beliau berkata dunia berisiko berpecah belah dan sekiranya ia berlaku, "kita semua akan menanggung padahnya".

"Syarikat-syarikat seperti IBM, Google dan PayPal - atau mana-mana syarikat yang bergantung kepada khidmat digital atau aliran data yang merentasi sempadan untuk menghasilkan produk dan khidmat - tidak akan dapat terus bertahan," katanya.

Pada masa yang sama, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik jika setiap orang boleh berintegrasi dan mengoptimumkan sistem-sistem pengeluaran serta rangkaian bekalan, dan sekiranya idea-idea boleh dikongsi dan diusahakan secara kolektif, kata menteri itu.

Encik Chan juga menarik perhatian bahawa inovasi merupakan satu lagi faktor yang meletakkan IBM di kedudukan yang baik dan mendorongnya untuk bertahan selama lebih 100 tahun.

Namun, beliau memberi amaran: "Apa yang kita ada hari ini adalah hasil masa lalu tetapi ia tidak menjamin masa hadapan. Produk-produk serta idea-idea yang ternyata membuahkan hasil sebelum ini tidak lagi dapat menjamin kejayaan."

"Jika kita boleh ingat dua perkataan ini - untuk berinovasi dan berintegrasi - saya fikir syarikat-syarikat seperti IBM dan negara-negara seperti Singapura akan mempunyai masa hadapan yang cerah.

"Jika kita tidak melakukan demikian, kita sendiri akan menanggung padahnya."

- CNA/AI/ai

Top